Buletin

HONDA PRELUDE GUNA BREMBO DAN DUAL-AXIS CIVIC TYPE R!

Honda mengesahkan Prelude baharu akan dilengkapi sistem suspensi, lebar roda (jejak roda) hadapan dan belakang serta brek hadapan Brembo daripada Civic Type R.

Ini merupakan satu perkembangan penting kerana kali pertama reka bentuk suspensi hadapan dual-axis yang inovatif dan mula diperkenalkan pada Civic Type R 2017 akan digunakan pada model Honda selain varian Type R.

Sistem suspensi dan brek ini akan ditala secara khusus untuk Prelude baharu untuk memberikan pengalaman pemanduan grand touring yang sporti namun tetap selesa.

Prelude baharu ini bukan sahaja menonjol dari segi reka bentuk, malah akan menjadi model Prelude yang pertama dilengkapi rangkaian kuasa elektrifikasi.

Prelude dikuasakan sistem hibrid elektrik dua motor Honda yang dikenali kerana kelancaran, responsif dan kuasa.

Sistem ini sama seperti yang digunakan pada Civic Hybrid, yang telah diiktiraf sebagai Kereta Amerika Utara Terbaik 2025.

Sebagai rujukan, berikut ciri-ciri rangkaian kuasa Civic Hybrid:

1. Enjin (kitaran Atkinson):

  • Sesaran: 1,993 cc

  • Kuasa Kuda: 141 @ 6,000 rpm

  • Tork: 182Nm @ 4,500 rpm

  • Garis Merah (Redline): 6,250 rpm

  • Gerek dan Lejang: 81 × 96.7 mm

  • Nisbah Mampatan: 13.9:1

2. Motor Elektrik (AC Synchronous Permanent-Magnet Electric Motor):

  • Kuasa Kuda: 181 @ 5,000-6,000 rpm

  • Tork: 315Nm @ 0-2,000 rpm

3. Jumlah Kuasa Kuda Sistem:

  • 200 hp

Selain itu buat pertama kalinya, sistem hibrid ini akan dipadankan dengan Honda S+ Shift baharu.

Mod pemanduan baharu yang inovatif ini mempertingkat Kawalan Anjakan Linear bagi pengalaman GT Prelude yang sporty namun selesa.

Hasilnya, Prelude generasi keenam ini dijangka akan memberikan tahap keterujaan dan penglibatan pemandu yang tinggi termasuk dinamik pemanduan dan rasa seronok untuk dipandu.

Ini juga dicapai sambil mengekalkan keselesaan untuk pemanduan harian.

Prelude baharu dijangka tiba di pengedar Honda Amerika Syarikat pada akhir tahun 2025.

 

Google ads
Back to top button