Buletin

BYD ATTO 1 DILANCARKAN DI INDONESIA – DUA VARIAN, JARAK GERAK 405KM, HARGA SEKITAR RM57K

BYD Motor Indonesia telah mencuri tumpuan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 apabila memperkenalkan model terbaharu dalam barisan kenderaan elektriknya, BYD Atto 1.

Model ini sebenarnya merupakan versi tempatan bagi BYD Seagull, namun diberikan identiti tersendiri untuk pasaran Indonesia.

Menariknya, Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara menerima model ini, menandakan komitmen BYD dalam memperluas pengaruhnya di segmen EV mampu milik serantau.

BYD Atto 1 tampil dengan dimensi yang ringkas sekitar 3.78 meter panjang dan 1.71 meter lebar, serta tinggi kira-kira 1.54 meter. Jarak antara roda mencecah 2.5 meter, menjadikannya stabil untuk pemanduan harian.

Dikuasakan motor elektrik 55kW (sekitar 74hp) dan tork maksimum 135Nm, ia mampu memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

Ciri Blade Battery eksklusif BYD turut digunakan, tersedia dalam dua pilihan kapasiti: 30kWh untuk versi standard dan 38kWh bagi varian jarak jauh (long range). Jarak gerakannya dianggarkan sekitar 300km dan 405km (mengikut piawaian NEDC).

Pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas dari 30% ke 80% dalam masa kira-kira 30 minit, manakala pengecasan AC biasa mengambil masa antara 6 hingga 8 jam.

Ciri keselamatan juga diperkukuh dengan kehadiran enam beg udara, sistem brek regeneratif, dan struktur kerangka badan yang direka kukuh.

Di bahagian dalam, Atto 1 membawakan sentuhan premium walaupun disasarkan untuk pasaran pertengahan. Paparan infotainmen bersaiz 10.1-inci terapung menghiasi papan pemuka, lengkap dengan integrasi Apple CarPlay dan Android Auto.

Turut disediakan adalah pad pengecas tanpa wayar, suis kawalan fizikal untuk akses pantas, serta panel meter digital 7-inci.

Kerusi dilapisi material lembut dan balutan kulit sport menambahkan keselesaan, terutama dengan sokongan tiga perehat kepala boleh laras di barisan belakang. Kemudahan seperti smart key dan butang mula/henti hadir sebagai standard.

Di luar, Atto 1 tampil berani dengan rekaan bampar hadapan gaya “windbreaker”, lampu utama LED bersama DRL, serta rim aloi ringan bersaiz 16-inci yang bukan saja menambah gaya tetapi juga membantu pemanduan lebih cekap.

BYD Atto 1 ditawarkan dalam dua varian, Dynamic dan Premium. Versi Dynamic ditawarkan pada harga atas jalan sekitar Rp195 juta (sekitar RM57,000).

Sementara itu, varian Premium dengan bateri lebih besar dan jarak perjalanan sekitar 380km dijual pada harga Rp235 juta (sekitar RM69,000).

Google ads
Back to top button