
HONDA BRIO RS URBANITE – KEMAIN URBAN NAMA
Sebut pasal Honda, tidak perlu disangkal lagi akan ke-laku-an bagi setiap model yang dipasarkan. Tidak kira di mana sahaja ianya dipasarkan, asalkan jenama H, pasti pengikutnya berduyun tak tentu hala. Dan di Indonesia, terdapat sebuah model yang cukup laku keras, merampas tahta Honda Jazz selaku model sejuta umat, Honda Brio.
Kereta kecil Segmen A ini mula dipasarkan di Indonesia pada tanggal bulan Ogos 2012 melalui kilang pemasangan yang terletak di Karawang, Jawa Barat. Pengenalan Honda Brio ini bagi memenuhi kehendak pasaran bagi segmen LGCC (Low Green Car Cost) yang mana sehingga ke hari ini ianya merupakan lubuk buat mana – mana pengeluar kenderaan di Indonesia. Dan Honda Brio ini muncul sebagai model terlaku di Indonesia pada tahun sudah apabila merekodkan jualan sebanyak 43,021 unit. Power. Power.

Dan setelah beberapa tahun, Honda Brio ini telah pun beralih ke generasi kedua, dengan paras rupa yang lebih menawan berbanding generasi sebelumnya. Sebelum ini, Honda terlebih dahulu memperkenalkan varian tertinggi, Honda Brio RS bagi memenuhi permintaan pasaran muda mudi yang inginkan penampilan yang lebih sporty.
Kini, Honda memperkenalkan pula varian terbaharu, Honda Brio RS Urbanite. Nama pun dah catchy. Begitu juga dengan penampilan luaran Honda Brio ini. Secara asasnya, ianya masih lagi merupakan sebuah model yang telah diberikan lencana RS melalui rekaan bampar hadapan dan belakang yang baharu berbanding model standard sebuah Honda Brio.

Namun, ianya kini telah diberikan kemasan baharu merangkumi Front Under Spoiler dan juga Rear Under Spoiler yang dilengkapi dengan diffuser. Pada bahagian sisi juga kini menampilkan Black Side Under Spoiler serta kemasan hitam pada pemegang pintu. Begitu juga dengan perumah lampu sisi yang turut diberikan penampilan berwarna hitam bagi menampilkan kontra yang lebih sporty.
Dari segi trenkuasa, ianya masih lagi tidak berubah. Masih lagi menggunakan enjin 1.2 liter i-Vtec yang berupaya menjana kuasa 90 PS serta tork 110Nm. Kira memadailah untuk dijadikan sebagai kereta bandar. Nak laju pun bukannya boleh pergi mana sangat. Jakarta tu pun terkenal dengan macetnya.

Dari segi kesedapan memandu, model kompak ini turut dipadankan dengan sistem ampaian yang lebih sporty disamping penggunaan rim bersaiz 15 inci berbanding 14 inci untuk model standard. Dan tambahan juga untuk speaker tweeter di bahagian hadapan bagi menambahkan kesedapan muzik yang didengari agar lebih jelas.
Honda RS Urbanite kini telah boleh ditempah pada harga Rp 201.700.000 (RM58,592) untuk versi auto. Versi manual pun ada juga dijual, murahlah sikit beberapa ribu.
BACA : HONDA BRIO BAKAL DIEKSPORT DARI INDONESIA KE ASEAN, MALAYSIA BAGAIMANA?
BACA : HONDA TAYANG SMALL RS CONCEPT DI IIMS – GANTI HONDA BRIO?