
IONIQ JADI JENAMA SENDIRI, EV KENDERAAN MASA DEPAN!
Trend sekarang ialah pengeluar kenderaan mempunyai jenama atau sub jenama khusus untuk siri kenderaan elektrik. Daimler dan Geely memiliki smart, BMW mempunyai i, Mercedes dengan EQ, Volkswagen melalui I.D. manakala Geometry di bawah Geely.
Terbaru Hyundai Motor Company mengumumkan pelancaran IONIQ sebagai jenama khusus untuk siri kenderaan elektrik bateri (BEV) yang menunjukkan haluan dan kepercayaan untuk segmen ini di masa depan.
Di bawah jenama IONIQ, Hyundai akan menawarkan pengalaman EV dengan fokus pada gaya hidup terhubung dan selari mengikut visi syarikat iaitu Progress for Humanity.
Dari situ boleh dilihat EV bukan setakat pengangkutan tetapi merupakan sebahagian dari kehidupan manusia. Dua perkara utama ialah EV dan terhubung (connected).
Pewujudan jenama IONIQ merupakan respon kepada perkembangan permintaan pasaran yang semakin berkembang dan mempercepatkan rancangan Hyundai untuk meneraju pasaran EV global.
Mengikut perancangan, ada tiga model IONIQ khusus dalam tempoh empat tahun akan datang dan disusuli beberapa model.
Hyundai sudah mempunyai keupayaan seperti pengecasan ultra-cepat dan pembekalan tenaga bateri yang akan digabungkan dengan inovasi masa depan.
Hyundai pertama kali memperkenalkan terma IONIQ iaitu gabungan ion dan unique semasa pengumuman Project IONIQ yang merupakan projek penyelidikan dan pembangunan dengan fokus terhadap mobiliti mesra alam.
Berdasarkan projek itu Hyundai memperkenalkan IONIQ pada 2016, sebuah model pertama dan satu-satunya di dunia dengan tiga pilihan rangkaian elektrifikasi iaitu hibrid elektrik, hibrid plug-in dan elektrik bateri dalam jenis badan tunggal.
IONIQ 5, IONIQ 6, IONIQ 7
Perancangan Hyundai ialah melancarkan kenderaan dengan nombor genap untuk kereta sedan dan nombor ganjil bagi SUV.
Model pertama ialah IONIQ 5, sebuah CUV (crossover utility vehicle) saiz sederhana pada awal 2021. Model ini diasaskan dari konsep EV 45 yang dipertontonkan di Jerman pada 2019.
Pada 2022, sedan IONIQ 6 bakal menyusul dengan bayangan ditunjukkan pada Prophecy yang pertama kali dipertontonkan pada Mac 2020. Giliran SUV saiz besar IONIQ 7 pula pada awal 2024.
Kenderaan IONIQ akan dibina menggunakan platform Electric Global Modular Platform (E-GMP) dan membolehkan penawaran fungsi pengecasan cepat dan jarak pemanduan jauh.
Hyundai Motor Group mensasarkan jualan kumpulan sebanyak 1 juta unit kenderaan elektrik bateri dan sepuluh peratus pegangan pasaran untuk menjadi peneraju dalam bidang EV global menjelang tahun 2025.
BACA: HYUNDAI VELOSTER N GUNA 8 GEAR DCT! LAGI CEKAP
BACA: SEGALANYA TENTANG HYUNDAI INTELLIGENT MANUAL TRANSMISSION
BACA: HYUNDAI ELANTRA 2021, BILA HYUNDAI TUNJUK BELANG!
Hyundai IONIQ
Hyundai Prophecy
Hyundai 45