
HYUNDAI LANTIK KETUA BAHARU. MAHU FOKUS PEMANDUAN BERAUTONOMI, EV DAN KERETA TERBANG
Hyundai Motor Group baru-baru ini telah melantik Euisun Chung sebagai Pengerusi Kumpulan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya selaku pewaris syarikat pengeluar keenderaan kelima terbesar di dunia itu.
Dalam proses peralihan kuasa generasi yang pertama berlaku pada Hyundai bagi tempoh 20 tahun, Chung, 49, menyatakan dia berharap dapat membawa konglomerat kedua terbesar di Korea Selatan itu untuk kekal berada di hadapan. Terutama ketika industri automotif mengalami perkembangan pesat dari segi inovasi teknologi.
“Saya rasa bertuah kerana dapat meneruskan legasi inovasi Hyundai. Namun, ia juga merupakan satu tanggungjawab besar dalam membuka halaman baru buat Hyundai Motor Group,” kata Chung dalam ucapan pertamanya di hadapan kakitangan Hyundai.
Chung menegaskan bahawa pemanduan berautonomi, elektrifikasi, sel bahan api hidrogen, robotik dan mobiliti udara urban atau kereta terbang menjadi fokusnya pada masa depan.
Chung yang sebelum ini menjawat jawatan Naib Pengerusi Eksekutif dipilih untuk menggantikan bapanya, Mong-Koo Chung yang dilantik sebagai Pengerusi Kehormat. Pelantikan itu menerima persetujuan penuh daripada anak-anak syarikatnya, termasuklah Hyundai Motor.
Pelantikan itu menjadikan Chung pemimpin generasi ketiga yang mengambil alih salah satu konglomerat keluarga yang bertanggungjawab mengeluarkan Korea Selatan daripada kemiskinan sejak tahun 1950-an.
Bapanya mengemudikan Hyundai pada tahun 2000 dan mengubah Hyundai yang sebelum ini menjadi bahan jenaka kepada antara pembuat kereta utama di dunia. Chung memainkan peranan penting sebaik sahaja dilantik sebagai Naib Pengerusi Ekskutif pada Sptember 2018.
Hyundai Motor Group telah melabur sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.63 bilion) dalam kerjasama dengan Aptiv untuk membangunkan teknologi pemanduan autonomi. Selain menjalin kolaborasi dengan Uber untuk projek teksi udara elektrik dan melabur dalam Grab.
Pada Julai lalu, Chung meletakkan sasaran untuk mengusai lebih 10 peratus pasaran kenderaan elektrik menjelang tahun 2025.