Buletin

SONATA 2020 MUNCUL DI MALAYSIA. ENJIN SMARTSTREAM 2.5L, HYUNDAI SMART SENSE. JANGKAAN HARGA RM200K

“Jom naik tingkat 1, kami ada surprise sikit,” kata kakitangan Hyundai Sime Darby kepada saya sebaik sahaja tiba di ibu pejabat mereka di Ara Damansara, selepas selesai memandu uji Hyundai Kona. 

Kami kemudian dibawa ke satu ruang belakang di mana sebuah lagi model baharu Hyundai akan dilancarkan tidak lama lagi, selain SUV kompak Kona. 

Terimalah… Hyundai Sonata 2020. Sebenarnya, pendedahan itu tidaklah surprise sangat sebab sebelum ini Hyundai Sime Darby ada menyiarkan satu klip video mengenai Hari Malaysia.

Di sana, jelas kelihatan Sonata menjadi latar belakang apabila dua orang staff Hyundai Sime Darby ditanya apakah maksud Hari Malaysia bagi mereka. 

Sensous Sportiness

Melihat Sonata dari dekat, ia nyata jauh lebih cantik berbanding hanya meniliknya di skrin komputer. Sudah memasuki generasi kelapan, Sonata tampil berbeza daripada model-model sebelumnya apabila mengetengahkan bahasa rekaan Sensous Sportiness. 

Ini menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama di Asia Tenggara yang menerima Sonata 2020. Harganya pula dianggarkan sekitar RM200,000 seunit, agak kompetitif jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain seperti Toyota Camry, Honda Accord, Volkswagen Passat dan Mazda6. 

Rekaan luar seperti sebuah coupe atau fastback itu membuatkan sedan segmen D tersebut sangat sporty dan mampu menarik minat pelanggan lebih muda. 

Diinspirasikan daripada model konsep Hyundai Le Fil Rouge, Sonata diserlahkan menerusi gril yang dikenali sebagai Digital Pulse Cascading bersama jalur krom.

Lampu nyalaan siang (DRL) LED yang menjadi seakan-akan separuh bingkai lampu utama diposong menggunakan laser. Apa yang menarik, Hidden Lighting Lamps itu akan menjadi satu jalur krom apabila tidak dinyalakan. 

Kesan dramatik diteruskan ke bahagian sisi dengan garis-garis tajam, skirting, kemasan krom pada bingkai tingkap dan penggunaan rim bersaiz 18 inci. 

Bahagian belakang pula nampak berbeza dengan rekaan lampu dan spoiler bergaris tajam. Lampu LED nipis berbentuk huruf C itu bersambung dari kiri ke kanan dan emblem perkataan SONATA dilekatkan di bawahnya.

Saya pada awalnya tidak menjumpai butang untuk membuka but. Rupa-rupanya, ia disembunyikan pada logo Hyundai. 

Menjengah ke ruang kabin, anda akan disambut dengan kemasan tona hitam dan coklat pada papan pemuka, konsol tengah dan tempat duduk. Kemewahan sedan tersebut jelas terasa dengan penggunaan material yang berkualiti tinggi. 

Papan pemuka dipasang dengan skrin sentuh bersaiz lapan inci yang menyokong ketersambungaan Apple CarPlay dan Android Auto.

Kluster instrumen 12.3 inci yang ada memaparkan imej titik buta bahagian belakang kereta itu turut menyediakan segala maklumat pemanduan untuk kemudahan pemandu 

Selain itu, ciri pendingin hawa automatik, pengecasan tanpa wayar Qi dengan penyejukan, paparan head-up dan penukaran gear melalui butang juga ada disediakan. 

Enjin Smartstream MPI

Buat permulaan, Sonata hanya akan ditawarkan dalam satu varian yang dikuasakan oleh enjin Smartstream MPI empat silinder bersesaran 2.5 liter. Enjin aspirasi biasa (NA) yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik itu mampu menjana kuasa sekitar 180PS dan tork 232Nm. 

Pemandu boleh memilih di antara empat mode pemanduan iaitu Eco, Smart, Sport dan Comfort mengikut kesesuaian.  

Di pasaran lain, Sonata turut dilengkapi enji GDI-Turbo CVVD 1.6 liter berkuasa 185hp dan tork 241Nm bersama padanan kotak gear lapan kelajuan automatik. 

Dari segi keselamatan, Sonata dibekalkan dengan enam beg udara, amaran titik buta (BVM), pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan sebagainya.

Ia dipertingkatkan lagi menerusi sistem Hyundai Smart Sense. Sistem tersebut terdiri daripada Advanced Smart Cruise Control (ASCC), Forward Collision-Avoidance Assist, Automatic High Beam Assist, Lane Keep Assist System (LKAS), Lane Follow Assist dan Driver Attention Warning. 

Bila Sonata 2020 akan dilancarkan? Sudah tidak lama, harap bersabar. 

GALERI

Google ads
Back to top button