BuletinBuletin Khas

HYUNDAI IONIQ HIBRID, REBUT SERVICE 3 TAHUN PERCUMA

Hyundai Ioniq merupakan sebuah model yang dilahirkan untuk menggugat dominasi teknologi hybrid yang dipelopori oleh Toyota Prius. Tapi ia dilakukan dengan cara yang sedikit berlainan dengan rekaan yang sporti, nampak seperti kereta konvensional biasa dan lengkap dengan semua ciri keselamatan terkini bagi sebuah sedan sport moden. Di Malaysia model Hyundai Ioniq ditawarkan dalam 2 varian iaitu Ioniq Hybrid HEV pada harga RM 99,888.00 dan Ioniq Hybrid HEV Plus pada harga RM 115,888.00.

Semua varian dikuasakan oleh enjin 1600cc Kappa dengan kitaran enjin Atkinson serta teknologi suntikan bahan api terus. Ia menghasilkan kuasa sekitar 104 kuasa kuda dan 147 Nm tork. Sistem hybrid pula terdiri daripada  motor yang menghasilkan 42 kuasa kuda dan 170Nm tork. Kuasa elektrik dibekalkan oleh bateri lithium ion polimer dengan kuasa 42kW. Gandingan kuasa enjin dan motor menghasilkan 139 kuasa kuda dan 264Nm tork.

Sistem ini disambungkan dengan transmisi 6 kelajuan klac berkembar yang dibangunkan dan dihasilkan sendiri oleh Hyundai dengan kecekapan mekanikal mencapai 97%. Trenkuasa ini membolehkan Ioniq mencapai halaju maksima 185km/j dengan pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 11 saat. Jika dipandu secara santai, ujian melibatkan protocol NEDC memberikan bacaan purata penggunaan petrol sekitar 29.4km bagi setiap liter petrol. Sistem hybrid ini hanya menghasilkan 84g/km gas karbon dioksida.

Namun jika anda bercadang untuk memandu sedikit agresif bagi memotong kereta lain, gunakan saja model pilihan sport mode bagi memaksimakan penggunaan tork setinggi 264Nm. Untuk pemanduan harian anda boleh letakkan pada Normal mode

Dari segi saiz, Ioniq berada di antara segmen B dan C dengan jarak antara roda 2700mm, panjang 4470mm, lebar 1820mm dan tinggi 1450mm. Ruang kargo yang disediakan ialah sekitar 519 liter walaupun ia menggunakan suspense multilink pada bahagian belakang. Sistem bateri pula disorok di bawah kusyen penumpang belakang bersebelahan dengan tangki petrol. Untuk pemanduan sporti, semua roda menggunakan sistem brek cakera. Rekaan luar Hyundai Ioniq direka dengan efisyen bagi mencapai nilai seretan 0.24 bagi tujuan aerodinamik yang bagus

Ketika pengeluar lain baru memperkenalkan sistem pakej keselamatan pintar Hyundai Smartsense, Ioniq sudahpun memiliki ciri seperti sistem amaran pra-perlanggaran, brek automatik pra-perlanggaran, sistem amaran titik buta, sistem amaran lintasan belakang, sistem adaptif cruise control dan Driver Attention Alert ketika ia diperkenalkan pada tahun 2016 lagi.

Estetika sporti diperkemaskan lagi dengan rekaan stering yang rata di bahagian bawah manakala kemasan berwarna biru pada bahagian luar dan dalam mengingatkan pemandu yang Ioniq merupakan kenderaan hybrid. Dari aspek ergonomik, kusyen pemandu datang dengan 8 tetapan dan bantuan kuasa. Pemandu boleh mengecas telefon dengan teknologi tanpa wayar yang disediakan, memerhatikan tekanan tayar melalui sistem TPMS dan menggunakan sistem navigasi terbina dalam dengan sistem operasi Android.

Jika anda mencari sebuah kereta hybrid yang sporti, dinamik pengendalian yang bagus, jarang singgah ke stesen petrol, jaminan 8 tahun pada sistem hibrid dan servis percuma sehingga 60,000km besar kemungkinan Hyundai Ioniq Hybrid ini memang jodoh anda.

Google ads
Back to top button