
HYUNDAI STARIA 10 TEMPAT DUDUK KINI DI MALAYSIA. 3 VARIAN, 2.2L DIESEL, BERMULA RM180K
Hyundai Staria 10 tempat duduk di Malaysia, telah dilancarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors pagi ini di 1 Utama. Staria versi 10 tempat duduk yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max merupakan pengganti kepada Grand Starex.
Starian 10 tempat duduk dijana oleh turbodiesel 2.2 liter berkuasa 175hp dan tork 431Nm dari 1,500 hingga 2,500rpm. Enjin CRDi itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Dengan ukuran 5,253 mm panjang, 1,997 mm lebar dan 1,990 mm tinggi, Staria adalah 103 mm lebih panjang, 77mm lebih lebar dan 55mm lebih tinggi berbanding Starex dengan jarak roda 3,273mm.
Staria Lite dan Plus menggunakan aloi 17-inci (tayar 215/65), manakala size tayar Max ialah 235/55 dengan rim 18-inci dua tona berbentuk bintang.

Ketinggian Staria membolehkan penumpang masuk dan keluar kenderaan dengan mudah bersama susun atur tempat duduk 2-3-2-3. Kapasiti muatan maksimum ialah 1,024 liter dengan tempat duduk dilipat rata. Ketiga-tiga baris tempat duduk belakang boleh dilipat rata.
Ruang kaki Staria yang luas serta tingkap sisi yang besar antara ciri terbaik dalam segmennya.
Lampu depan LED dipadankan dengan lampu tetris-style pixel tail pada semua varian kecuali untuk Lite, walaupun mentol Lite disamarkan dengan baik dengan penutup bercorak pixel. Lampu siang LED pula adalah standard.
Pendingin hawa pada bahagian bumbung adalah standard. Manakala varian Plus dan Max mendapat power sliding door. Varian Max juga hadir dengan ciri pintu belakang berkuasa.

Tempat duduk varian Lite menggunakan fabrik, sementara Plus mendapat tempat duduk kulit Nappa. Untuk varian Max, ia menggunakan kulit Nappa hitam dan menjadi satu-satunya varian yang mendapat tempat duduk pemandu berkuasa.
MPV berkenaan dilengkapoi instrumen digital bersaiz 10.25 inci (gabungan analog dan LCD MID untuk Lite), skrin sentuh berukuran lapan inci bersama ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar.
Varian Max mempunyai kamera 360 darjah, dua tweeter tambahan dengan enam pembesar suara, penyaman udara dwi zon dan pengecas tanpa wayar. Selain lapan port USB dengan tujuh daripadanya adalah untuk mengecas.
Dari segi keselamatan, Staria dilengkapi enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM), Sistem Kawalan Traksi (TCS), Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC) dan Pautan kerusi kanak-kanak ISOFIX . Manakala Hyundai Smartsense hanya dikhaskan untuk Max.

Sistem keselamatan aktif dan bantuan pemandu termasuklah Bantuan Perlanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Perlanggaran Trafik Lintas Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Kawalan Jelajah Pintar (SCC) dengan fungsi Henti & Mula (Stop & Go), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Amaran Penumpang Belakang (ROA), Bantuan Lampu Suluh Tinggi (HBA), Amaran Jarak Parkir (PDW), Monitor Paparan Keliling (SVM), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) serta Amaran Kenderaan Depan Gerak (LVDA)
Terdapat dua pilihan warna untuk ketiga-tiga varian iaitu hitam mutiara dan putih. Varian Lite menerima tambahan warna perak metalik, manakala varian Max pula ditawarkan dengan pilihan warna tambahan iaitu kelabu metalik dan biru mutiara.

Pelanggan turut ditawarkan dengan pakej naik taraf seperti pemasangan tangga sisi (standard atau elektronik), infotainmen pada bumbung belakang dan kemasan dalaman diperbuat daripada Alcantara.
Harga Staria Lite ialah RM179,888, Staria Plus berharga RM196,888 dan varian tertinggi Staria Max boleh anda miliki pada harga RM209,888 seunit, tidak termasuk insurans.
Setiap pembelian Hyundai Staria hadir dengan waranti standard 2 tahun atau 50,000km, selain diberikan ‘optional upgrade‘ bernilai RM10,000 untuk menjadikan waranti tersebut 5 tahun atau 300,000km, serta servis percuma untuk 3 tahun atau 50,000km.
GALERI:








