Buletin

ORANG KUAT KANADA TARIK BAS ELEKTRIK 15,150 KG. PADAM REKOD SENDIRI

Orang kuat Kanada, Kevin Fast membuktikan usia bukan penghalang untuk menarik bas elektrik seberat 15,150 kg sekali gus memecah rekod Guinness World Records.

Kevin yang berusia 58 tahun memecahkan rekod sendiri dibuat pada tahun 2017 dengan menarik bas transit metropolitan itu sejauh 15 meter di West 67th Street di Manhattan.

Percubaan tersebut disiarkan secara langsung dalam ABC’s Live with Kelly and Ryan, awal minggu lalu.

Kejayaan itu mengatasi rekodnya sebelum ini menerusi trak seberat 11,080kg di Cobourg, Ontario.

Pemangku Presiden Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) yang juga Naib Presiden Jabatan Bas Transit New York, Frank Annicaro berkata, pihaknya berbangga dapat turut serta dalam acara bersejarah itu.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Kevin Fast atas pencapaian mengagumkan ini.

“Dengan satu daripada bas tenaga bersih kami digunakan bagi acara ini, ia memberi peluang untuk kami menunjukkan komitmen berterusan MTA dalam penyampaian sistem perkhidmatan bas moden, lestari dan diyakini penduduk New York, sambil kita melindungi alam sekitar,” katanya dalam kenyataan. NYPOST/HM

Google ads
Back to top button