Buletin

HYUNDAI, LG MULAKAN PEMBINAAN KILANG BATERI EV DI INDONESIA

Hyundai Motor Group dan LG Energy Solution memulakan pembinaan kilang bateri kenderaan elektrik (EV) di Indonesia, dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam pasaran EV global. 

Pembinaan itu selepas perjanjian yang ditandatangani pada Julai lalu melibatkan pelaburan sebanyak AS$1.1 bilion (RM4.57 bilion) sebagai kerjasama mengilang sel bateri RN dengan setiap pihak memiliki kepentingan 50 peratus. KIlan tersebut dijadual siap pada separuh pertama 2023 dengan pengeluaran besar-besaran bermula pada awal tahun 2024. 

Kemudahan tersebut dijangka mempunyai kapasiti awal 10GWh bateri NCMA lithium-ion setahun yang cukup untuk menjana 150,000 unit EV. Kapasiti itu boleh ditingkatkan menjadi 30GWh apabila permintaan terhadap EV di rantau ini kian meningkat. 

Bateri yang dihasilkan di kilang itu akan digunakan pada model Hyundai dan Kia dengan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Majlis pecah tanah diadakan di Bandar Industri Baharu Kerawang, 70km timur Jakarta. Ia dihadiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo; Ketua Pegawai Ekskutif syarikat kerjasama, Hong Woo-pyeong dan Ketua Hyundai Motor Company Asia-Pacific, Youngtack Lee. 

“Hyundai Motor Group kini memberi fokus untuk menjadi peneraju global dalam pasaran EV supaya kekal kompetitif pada masa depan. Kilang ini merupakan sebahagian daripada usaha tersebut. Bermula dengan kilang ini, ekosistem EV berjaya dimulakan di Indonesia di samping beberapa industri berkaitan. 

“Kami menjangkakan Indonesia akan memainkan peranan penting dala pasaran EV ASEAN,” kata Pengerusi Hyundai Motor Group, Euisun Chung.  foto: FB Presiden Joko Widodo

Google ads
Back to top button