
HYUNDAI VELOSTER N MENANG KERETA BERPRESTASI ROAD & TRACK, KALAHKAN SUPRA DLL!
Model berprestasi N dari Hyundai berjaya menarik perhatian peminat automotif. Satu sebab ialah Albert Biermann yang merupakan bekas Ketua BMW M Division berada di sebalik model-model hebat Korea Selatan itu.
Melalui N, Hyundai tampil berbeza dan bukan sekadar kenderaan pengangkutan dari A ke B sahaja. Melalui N juga Hyundai berjaya menaikkan imejnya di mata peminat kereta berprestasi.
Tetapi apakah model N ini bagus atau sekadar hype sahaja?
Ini jawapannya. Majalah Road & Track menghimpunkan model-model hebat untuk mengujinya beratus kilometer dan kemudian membuat keputusan model mana yang layak untuk dinobat sebagai Kereta Berprestasi Tahunan (PCOTY).
Tahukah anda model mana yang terpilih untuk PCOTY 2020? Hyundai Veloster N.
Ia keputusan mengejutkan kerana senarai pendek untuk anugerah ini ialah Toyota Supra, Lexus RC F Track Edition, Lotus Evora GT, McLaren 600LT Spider, Lamborghini Huracan Evo, BMW M2 Competition, Chevrolet Corvette Stingray, Porsche 911 Carrera S, Nissan GT-R Nismo dan Mazda MX-5 Miata RF Club.
Apa yang bermain di fikiran penyunting (editor) majalah Road & Track? Di dalam laporan yang disediakan, para penyunting bercerita dengan panjang lebar mengenai alasan mereka dalam pemilihan tersebut.
Jawapan yang boleh disimpulkan ialah Hyundai Veloster N adalah sebuah kereta yang begitu seronok untuk dipandu. Satu persatu kelebihan model yang disenarai pendek diceritakan tetapi ia masih mempunyai kehilangan yang berjaya diganti oleh Veloster N.
Harganya begitu mampu milik (bawah USD30,000) dan dari sebuah kereta biasa, ia bertukar karakter kepada sesuatu yang berbeza selepas mod pemanduan N dipilih.
Para penyunting juga memuji Albert Biermann untuk talaan model ini.
Satu lagi kelebihan Veloster N ialah karakternya yang menghargai caranya ‘dibelasah’ oleh pemandu dengan baik. Veloster N mampu bertindak balas dan kemudian mengukir senyuman kepada pemandu.
Model-model lain juga bagus cuma kesemuanya mempunyai legasi yang harus dipatuhi. Sementara Veloster N entah datang dari mana, membawa karakter sporti dan keseimbangan dan ia berlaku jujur iaitu sebuah kereta yang seronok untuk dipandu.
BACA: HYUNDAI BISIMOTO VELOSTERAPTOR N CONCEPT, MAHU LAWAN TYPE R
BACA: OTT TÄNAK PINDAH KEM, DARI TOYOTA KE HYUNDAI UNTUK WRC 2020
BACA: HYUNDAI i10 N LINE – KERETA BANDAR 1.0L TURBO!
