Buletin

HYUNDAI i10 N LINE – KERETA BANDAR 1.0L TURBO!

Hyundai i10 generasi ketiga baru sahaja dilancarkan beberapa minggu lalu dan kini varian sporti i10 N Line dipertontonkan di Pameran Kenderaan Antarabangsa (IAA) Frankfurt 2019.

Hyundai semakin rancak dalam menambah perisa kepada model massa dan i10 N Line adalah model keempat di dalam siri N Line iaitu i30, i30 Fastback dan Tucson.

Siri N Line lebih kepada perubahan kosmetik dan naik taraf ringan berbanding model yang lebih berorientasikan prestasi seperti i30 N dan Veloster N.

Walaupun kecil dan berada di dalam segmen kereta bandar, i10 N Line didatangkan dengan enjin eksklusif 1.0 T-GDi. Enjin tiga silinder ini berkuasa 100 PS dengan daya kilas 172 Nm.

Enjin kecil ini sebenarnya lebih berkuasa berbanding enjin i10 varian standard 1.2 liter MPi empat silinder dengan output 84 PS dan daya kilas 118 Nm.

Pada bahagian luaran, i10 N Line tampil unik dengan bampar, lampu nyalaan siang LED dan corak roda yang berbeza berbanding i10 standard. Hyundai tidak mengenakan kit badan yang sarat pada i10 N Line, cukup dengan perubahan ringkas namun kekal menarik.

Lagi identiti eksklusif pada i10 N Line ialah tulisan i10 berwarna merah, logo N Line, skid plate dan diffuser. Pelanggan juga ditawarkan dengan enam pilihan warna luaran dan boleh dipadan bersama warna bumbung dua tona.

Bahagian dalaman pula hadir dengan pengaruh kereta lumba. Stereng dan tombol gear mempunyai logo N manakala corong udara dengan kemasan merah dan pedal pula jenis besi. Melengkapi bahagian dalaman ialah kerusi sport sebagai sokongan untuk pemanduan yang menyeronokkan.

Hyundai i10 adalah kereta global dan dipasarkan di banyak buah negara. Walaupun begitu, i10 di negara kita hanya dipasarkan setakat generasi pertama sahaja. Kini dengan i10 baharu, adakah ia bakal dibawa semula ke pasaran tempatan?

Masih terlalu awal untuk disahkan namun jika anda berhasrat untuk menikmati kereta segmen A buatan Korea Selatan, jawapannya ada pada Kia Picanto. Bukan setakat Picanto biasa, Naza Kia turut membawa varian sporti Picanto GT Line.

Harga kedua-dua varian Picanto ini bermula daripada RM50,000 hingga RM58,000.

Mungkin Hyundai-Sime Darby Motor boleh menggunakan kaedah sama dalam menawarkan semula i10 ke pasaran tempatan.

BACA: CANGGIH! HYUNDAI INI GUNA BUMBUNG SOLAR, BEKAL KUASA TAMBAHAN

BACA: PANDU UJI HYUNDAI ELANTRA: SEDAN CITARASA KPOP

BACA: PANDU UJI: HYUNDAI TUCSON, KIMCHI TURBO DENGAN DCT YANG LAZAT

Tags
Google ads
Back to top button