Buletin

OTT TÄNAK PINDAH KEM, DARI TOYOTA KE HYUNDAI UNTUK WRC 2020

Ott Tänak baru sahaja dinobatkan sebagai juara rali dunia (WRC) setelah memungut mata terbanyak dalam pusingan di Sepanyol sebelum ini. Beliau menyertai Marc Márquez yang memenangi kejuaraan dunia meskipun perlumbaan musim 2019 masih mempunyai baki pusingan. 

WRC hanya akan melabuhkan tirainya pada pertengahan November di Australia dengan dua pasukan iaitu Hyundai dan Toyota mempunyai peluang bagi merebut kejuaraan bagi kategori pengeluar.

Dalam pertarungan itu, satu perkara menarik apabila Ott Tänak mewakili Toyota dan bakal memulakan musim 2020 bersama pasukan Hyundai.

Hyundai Motorsport pada 31 Oktober mengumumkan Ott Tänak sebagai pemandu baharu pasukan dengan kontrak selama dua tahun. Beliau bersama pemandu arah Martin Järveoja akan berganding bahu dalam 14 pusingan WRC pada musim 2020.

Pusingan pertama WRC dimulakan dengan Rallye Monte-Carlo pada 23 Januari 2020.

Perkembangan ini sememangnya menarik di mana Hyundai sedang mendahului Toyota dengan 18 mata di dalam kategori pengeluar. Toyota pula berusaha bagi mendapatkan kemenangan kedua berturut-turut selepas menjadi juara dunia pada musim 2018.

Tanggungjawab itu digalas oleh Ott Tänak dan beberapa pasangan pemandu Toyota yang lain.

Hyundai i20 WRC 2019

Pengumuman yang dibuat turut mengesahkan empat pemandu Hyundai i20 Coupe WRC pada musim depan. Selain Ott Tänak, Hyundai diwakili oleh Thierry Neuville untuk pusingan penuh manakala Dani Sordo dan pemandu legenda Sébastien Loeb akan berkongsi kereta.

Hyundai Motorsport juga sedang berbincang dengan Andreas Mikkelsen dan Craig Breen untuk kemungkinan kolaborasi pada musim 2020.

WRC 2020 merangkumi destinasi baharu buat Hyundai Motorsport dengan pusingan baharu di Kenya, New Zealand dan Jepun yang memerlukan krew berkebolehan bagi menangani cabaran berbeza.

Hyundai i20 WRC 2019

Apa pun baki perlumbaan musim ini bakal menyaksikan pertarungan menarik di antara Hyundai dan Toyota. Jika Toyota menang, ia satu kegembiraan buat Ott Tänak dan jika Hyundai menang ia juga satu berita positif untuk juara 2019 tersebut.

BACA: HYUNDAI VELOSTER GRAPPLER CONCEPT, KHUSUS UNTUK OFF-ROAD

BACA: HYUNDAI i10 N LINE – KERETA BANDAR 1.0L TURBO!

BACA: HYUNDAI VELOSTER N ETCR, KERETA LUMBA ELEKTRIK RWD UNTUK ETCR

Google ads
Back to top button