Buletin

INI SEBAB KENAPA PASUKAN PETRONAS SRT YAMAHA KEBERATAN NAK TERIMA ROSSI

Buat masa sekarang, pelumba veteran MotoGP, Valentino Rossi seperti sudah pasti tidak lagi berada dalam senarai pasukan factory Yamaha untuk musim MotoGP 2021. 

Tempatnya bakal diganti oleh pelumba lebih muda dan sensasi, Fabio Quartararo. Perpindahan Quartararo daripada pasukan Petronas SRT Yamaha ke pasukan factory Yamaha membuatkan ada satu tempat kosoang yang perlu diisi. 

Ketua pasukan Petronas SRT Yamaha, Datuk Razlan Razali mencetuskan sedikit kekecohan baru-baru ini apabila menyatakan bahawa kehadiran Rossi ke dalam pasukannya tahun depan masih belum diputuskan sepenuhnya. Ini merupakan kali kedua Razlan menyatakan pendiriannya yang nyata kurang disenangi oleh banyak pihak. 

Bulan lalu, Razlan mengakui masih belum ada perbincangan serius di antara pasukannaya dan factory Yamaha mengenai isu ini. Beliau juga menegaskan yang pemilihan Rossi tidak selari dengan modus operandi pasukan Petronas SRT Yamaha untuk mengenengahkan bakat-bakat baru dalam MotoGP.  

Jadi apakah impak untung atau rugi yang akan dialami oleh pasukan Petronas SRT Yamaha jika mengambil Rossi sebagai pelumba mereka? Rossi sebelum ini memberitahu akan membuat keputusan sama ada terus berlumba atau bersara selepas beberapa pusingan perlumbaan MotoGP. 

Jika dia mahu terus berlumba, ramai yang beranggapan pasukan satelit Petronas SRT Yamaha menjadi destinasi terbaiknya. Malah, Yamaha sendiri mengesahkan akan memberi sokongan penuh seperti yang diterima oleh Quartararo dan Maverick Vinales. 

Sokongan itu boleh datang dalam bentuk de facto ketiga dalam pasukan factory Yamaha atau dengan Petronas SRT Yamaha. Namun, jika pilhan pertama yang diambil, ia mungkin boleh menjejaskan konsentrasi Quartararo dan Vinales. Selain satu pasukan penuh yang baru perlu dibentuk dan mungkin tidak berbaloi untuk dibuat.

Jadi, pilihan kedua (Rossi menyertai Petronas SRT Yamaha) nampak lebih logik. Apatah lagi prestasi pasukan satelit itu cukup memberangsangkan. 

Kalaupun Yamaha mahu Rossi masuk ke sana, tidak bermakna Petronas SRT Yamaha mahu menerimanya. Tetapi, kenapa pasukan itu nampak begitu keberatan untuk mengambil Rossi? Sedangkan kalau difikir, Rossi boleh menarik minat ramai penaja untuk menyokong pasukan barunya itu. 

Jelas bahawa Razlan mahu menjadikan Petronas SRT Yamaha sebuah pasukan yang bebas dan berjaya di atas usahanya sendiri. 

Beliau benar-benar percaya Quartararo ada peluang untuk menyinar pada tahun ini. Lagi pun, satu tempat kosong itu mahu diisi dengan pelumba muda yang boleh menyinar. Razlan sebelum ini ada menyatakan keinginan untuk mendapatkan khidmat pelumba Moto2, Xavi Vierge. 

Ini mungkin menjadi berita buruk kepada seorang lagi pelumbanya, Franco Morbidelli jika pasukan factory Yamaha berkeras mahu Rossi dalam pasukan satelit berkenaan. 

Biar apa pun, Razlan nampak tegas dan mahukan autoriti dalam menentukan siapakah yang layak atau tidak berada dalam pasukannya. 

Dengan belum ada satu pun perlumbaan dijalankan untuk musim 2020, mungkin terlalu awal untuk kita meneka apakah nasib pelumba-pelumba ini. Kita tunggu sahajalah apa yang akan berlaku nanti… 

Google ads
Back to top button