ROSSI: KALAU SAYA MASIH DGN HONDA, TENTU SAYA DAH PECAHKAN REKOD AGOSTINI
Valentino Rossi, pelumba handalan yang tetap akan diingati sebagai lagenda. Bermula dengan Aprilia, Honda, Ducati dan Yamaha, beliau mungkin “terkandas” untuk mengutip kejuaraan dunia ke-10 tetapi dengan persaingan yang diberikan di sepanjang musim pada umur 40 tahun, ia tetap satu pencapaian yang sangat mengagumkan.
Minggu lalu, beliau berlumba untukkali yang ke 400 dalam kelas premier, satu yang jarang diperolehi dalam pelumba arena moden. Tahun hadapan, beliau bakal mencecah umur 41 tahun dan menjadi pemandu tertua yang pernah berada dalam grid kelas premier Gran Prix MotoGP.
Beliau pernah beberapa kali ditanya bilakah akan “pencen” dari kelas perlumbaan tersebut. dalam beberapa temuramah berbeza sebelum ini juga Rossi langsung tidak memberi indikasi “bila” bahkan media menganggap Rossi hanya akan dipencenkan oleh Yamaha apabila khidmat kontraknya tidak disambung lagi.
Kontrak Rossi masih kekal sekurang-kurangnya untuk satu musim lagi pada 2020. Dan ditanya sekali lagi apakah tindakan beliau yang paling “gila” pernah dibuat dalam kariernya beliau memberitahu bahawa perpindahan dari Honda ke Yamaha adalah satu daripadanya.
“Pada 2002, Honda merupakan pasukan yang paling kuat, tiada yang mampu menandinginya. Tanpa Honda, kami tak mungkin menang, tapi saya ambil keputusan ke pasukan Yamaha yang ketika itu bermasalah.
“Kalau difikirkan sekarang, ia adalah tindakan yang gila dan bodoh sebenarnya.
“Saya boleh terus menang dengan Honda dan kadangkala saya pun tak tahu berapa banyak kemenangan yang saya akan dapat jika terus kekal dengan Honda. Katakan lima tahun bersama Honda, saya mungkin mengatasi rekod Giacomo Agostini.
“Sedangkan dengan Yamaha kami terpaksa bermula semula dari awal. Kalau difikirkan balik, ia rasa gila juga. Tapi bila difikirkan lagi, saya rasa itu tindakan yang berani (berpindah dari Honda ke Yamaha.
Selain bercerita perihal Honda dan Yamaha, Rossi juga memberi respon bagaimana pengalaman dua tahun beliau dengan Ducati.
“Dua tahun bersama Ducati ibarat berakhirnya karier saya. Saya terpaksa kembali ke Yamaha dan sebenarnya Yamaha sudah berpatah arang dengan saya. Mereka anggap hubungan kami dah berakhir. Tapi mujurlah ada Lin Jarvis, beliau beri peluang kepada saya dan di sinilah saya sekarang.