
ISUZU D-MAX EV DIPERKENALKAN – JANA 140kW, TAWAR JARAK GERAK 263KM
Isuzu telah memperkenalkan model elektrik sepenuhnya pertama bagi trak pikapnya – D-Max EV – di pentas Commercial Vehicle Show 2025 (CV Show) yang berlangsung di NEC Birmingham.
Model ini direka untuk mengekalkan keupayaan kerja sebuah trak pikap tulen, dengan pacuan empat roda, muatan lebih satu tan, dan keupayaan menunda sehingga 3.5 tan.
D-Max EV akan ditawarkan dalam dua varian kemasan premium, tersedia dalam pilihan Extended Cab dan Double Cab. Kedua-duanya menyamai spesifikasi model diesel D-Max DL40 dan V-Cross dalam aspek kelengkapan.

Model yang dipamerkan di CV Show 2025 tampil dengan warna eksklusif “Norwegian Blue” sebagai edisi khas.
Dari segi dimensi, D-Max EV berukuran 5,280mm panjang (bertambah 15mm berbanding model diesel), lebar 1,870mm dan tinggi 1,810mm (termasuk rel bumbung), dengan jarak roda kekal pada 3,125mm. Berat kendalian ialah 2,350kg.
Dalam aspek utiliti, ia mampu membawa muatan sehingga 1,010kg dan menarik beban seberat 3,500kg.

Radius pusingan minimum ialah 6.1 meter, manakala suspensi belakang kini menggunakan sistem De Dion, menjanjikan pengendalian yang lebih baik. Selain itu, D-Max EV turut dipasangkan dengan rim aloi 18-inci serta tayar bersaiz 265/60R18.
Beralih pada kuasa pula, ia dilengkapi pek bateri lithium-ion 66.9kWh, yang menawarkan jarak gerak 263km berdasarkan kitaran WLTP.
D-Max EV dilengkapi motor berkembar – 43kW di hadapan dan 97kW di belakang – dengan jumlah output mencecah 140kW dan tork 325Nm (108Nm depan, 217Nm belakang).

Gabungan ini membolehkan ia memecut 0-100km/j dalam masa hanya 10.1 saat dan mencatat kelajuan maksimum melebihi 130km/j.
Dilengkapi sistem brek regeneratif pelbagai tahap serta mod pemanduan Eco, trak ini direka untuk memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan tenaga.
Bagi mereka yang sering meredah laluan mencabar, D-Max EV menyokong kedalaman redah air sehingga 600mm, jarak kelegaan tanah 210mm, serta sudut kelegaan hadapan dan belakang masing-masing 30.5° dan 24.2°.