Buletin

PELUMBA MUDA TUNJUK TARING DALAM VIOS CHALLENGE 2025

Pusingan pertama Toyota GAZOO Racing Vios Challenge 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan penguasaan barisan pelumba muda dalam perlumbaan penuh aksi sengit, menewaskan barisan pelumba berpengalaman dalam tiga kelas utama.

Sebanyak 36 pelumba, termasuk peserta dari Thailand dan Singapura, bersaing dalam kategori Super Sporting, Sporting dan Rookie.

Tumpuan utama terarah kepada Kelas Sporting apabila pelumba muda seperti Elson Lew (BAE Racing by ES Yang), Taj Izrin Aiman (Saksama Motorsports) dan Monai (RUK Team Nexzter PMC 52) berjaya mengenepikan pelumba veteran, Dato’ Ken Foo dari pasukan Kulim Topwheels.

Lew menamatkan perlumbaan dengan kemenangan, diikuti Taj Izrin di tempat kedua. Pelumba Thailand, Monai pula meraih tempat ketiga selepas Brandon Ho (Axle Sports) dikenakan penalti pasca perlumbaan.

Sementara itu, dalam Kelas Super Sporting, bekas juara Mitchell Cheah (Prima Pearl TD Racing) bangkit dari kesukaran teknikal untuk muncul juara, mengatasi Nabil Azlan (Wheelcorp) dan Eddie Lew (Laser Motor Racing).

Kelas Rookie pula menyaksikan dominasi penuh pelumba simulasi Ian James, yang menang dengan kelebihan lebih 13 saat di hadapan Aydan Khaliq. Pelumba wanita tunggal, Genevieve Ooi, berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

“Saya hanya fokus untuk kekalkan konsistensi dan tunggu pelumba di depan lakukan kesilapan,” kata Lew.

Bagi Taj Izrin, dua podium dalam hujung minggu perlumbaan sulungnya dalam kategori one-make saloon ini jelas melebihi jangkaan.

“Saya buat silap di permulaan. Terlalu gementar. Tapi saya ingatkan diri sendiri masih ada 20 pusingan, dan saya kejar semula,” jelas pelumba muda itu.

Kejayaan pelumba muda dalam pusingan pembuka musim ini membuktikan keberkesanan program pembangunan bakat Toyota GAZOO Racing Malaysia dan menjanjikan saingan lebih sengit untuk pusingan seterusnya.

Google ads
Back to top button