Buletin

CHERY SERAH ROBOT HUMANOID AiMOGA. SA DAH TAK BOLEH CARI MAKAN? 

Bayangkan satu ketika nanti, apabila masuk ke dalam bilik pameran kereta, anda tidak lagi dilayan oleh penasihat jualan (SA), sebaliknya oleh robot humanoid. 

Itulah visi masa depan yang ingin dikongsi oleh pengeluar kenderaan terkenal dari China, Chery. Harus tahu itu bukanlah angan-angan sahaja, tetapi sudahpun direalisasikan pada acara Auto Shanghai 2025 dan International Business Summit 2025 yang berlangsung di Wuhu, China baru-baru ini. 

Disaksikan oleh ratusan media antarabangsa, Chery secara rasmi telah menyerahkan 220 unit pertama robot humanoid pintar AiMOGA kepada wakil para pengedarnya dari seluruh dunia.

Untuk makluman, robot AiMOGA akan berperanan sebagai “Penasihat Jualan Pintar” di pusat pengedaran 4S Chery Joystar di Kuala Lumpur. 

Berbanding robot biasa, AiMOGA mempunyai fungsi dunia sebenar yang luas. Antaranya termasuklah memperkenalkan model-model kenderaan, mengalu-alukan kedatangan pelanggan, menguruskan sesi pandu uji, khidmat sokongan teknikal, penjejakan visual, mampu berinteraksi dalam pelbagai bahasa dan melakukan rutin tarian flash mob.

Robot AiMOGA dibangunkan hasil kerjasama teknikal di antara Chery Aimoga Robotics dan syarikat teknologi AI, DeepSeek.

Dikuasakan oleh cip berprestasi tinggi NVIDIA H800, robot ini mengintegrasikan model sumber terbuka DeepSeek V2, V3 dan R1 ke dalam platform awan AiMOGA. Ini membolehkan keupayaan interaktif canggih digunakan di bilik pameran dan dalam aktiviti pemasaran automotif Chery.

Robot itu bukan sahaja efisien, malah menarik perhatian pelanggan, menjadikannya alat pemasaran yang berimpak tinggi dan sesuai untuk persekitaran jualan moden.

Untuk merealisasikan visi ini, Chery telah melabur lebih RMB100 juta (RM60 juta) ke dalam pengeluaran besar-besaran robot AiMOGA, sekali gus menjadi bukti kukuh automasi dan AI kini menjadi tunjang strategi korporat Chery dalam era baharu industri automotif.

Harus tahu bahawa AiMOGA bukan hanya sekadar robot jualan. Ia adalah asas kepada ekosistem pintar Chery yang menggabungkan interaksi manusia-robot-kenderaan.

Dengan perancangan untuk memperluas kehadiran AiMOGA ke dalam ruang kediaman dan penggunaan harian, Chery sedang memacu pembangunan terminal pintar berasaskan rumah, seterusnya menjadikan teknologi AI sebahagian daripada kehidupan seharian manusia dan bukan hanya untuk industri.

Pada masa depan, AiMOGA dijangka meluaskan kehadirannya ke dalam pelbagai situasi interaksi manusia-mesin berimpak tinggi seperti di pusat membeli-belah, pameran, pawagam dan pusat perkhidmatan kerajaan.

Ia juga dirancang untuk memasuki ruang yang lebih emosional seperti termasuk rumah, sekolah dan pusat jagaan warga emas di mana aspek teman, empati dan keupayaan menyesuaikan diri amat penting.

Jadi, penyerahan unit-unit robot itu dilihat sebagai titik tolak kepada strategi globalisasi Chery. AiMOGA jelas dapat mengangkat imej Chery sebagai pelopor bukan sahaja dalam pembuatan kenderaan, malah penghasilan robotik komersial berasaskan AI, selari dengan arah tuju masa depan automotif dunia yang semakin beralih kepada digitalisasi dan automasi pintar.

Google ads
Back to top button