Buletin

UMWT JALIN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA MOT

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) terus memacu perubahan ke arah mobiliti masa depan yang lebih hijau melalui jalinan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

Usaha ini merupakan komitmen kukuh UMWT dalam menyokong matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekosistem pengangkutan yang lebih lestari.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, UMWT telah menyerahkan lima buah kenderaan elektrifikasi kepada MOT, terdiri daripada tiga model hibrid elektrik – Toyota Alphard, Camry dan Corolla Cross serta dua model kenderaan elektrik bateri (BEV), iaitu Toyota bZ4X dan Lexus RZ.

Kenderaan ini bakal digunakan oleh MOT sebagai platform penilaian teknologi, membolehkan pihak kementerian menilai prestasi, kebolehgunaan serta keberkesanan teknologi elektrifikasi dalam kegunaan harian.

Melalui pendedahan langsung ini, MOT akan memperoleh maklumat penting yang mampu memperkukuh dasar pengangkutan negara, menjadikannya lebih berpandukan data, relevan dengan keperluan semasa dan bersedia untuk masa depan yang lebih mampan.

Kerjasama ini turut sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Tenaga Negara 2022–2040, yang meletakkan penekanan kepada peranan sektor swasta dalam mempercepatkan usaha peralihan tenaga.

Bagi UMWT, ini bukan sahaja tentang memperkenalkan teknologi, tetapi juga menjadi rakan kongsi aktif dalam perubahan dasar dan pembentukan masa depan mobiliti negara.

Pendekatan multipathway yang diterapkan oleh Toyota, merangkumi pelbagai teknologi termasuk HEV, BEV, PHEV, FCEV, serta penggunaan sumber seperti hidrogen dan bahan api sintetik, mencerminkan strategi jangka panjang yang menyeluruh dan berasaskan sains.

Teknologi hibrid pula dilihat sebagai solusi peralihan yang praktikal, membolehkan pengguna mengurangkan pelepasan karbon tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada infrastruktur pengecasan.

Di bawah visi “Move Your World”, UMWT bukan sahaja mahu menggerakkan manusia dari satu lokasi ke lokasi lain, tetapi juga menginspirasi perubahan dalam pemikiran, dasar dan gaya hidup.

Matlamatnya adalah untuk mencipta penyelesaian mobiliti yang menyatukan masyarakat, memperkasakan kehidupan dan pada masa sama, memelihara alam sekitar.

Dengan menyertai pelbagai program libat urus bersama kerajaan, industri dan komuniti, UMWT memperlihatkan peranannya sebagai peneraju dalam transformasi mobiliti Malaysia.

Google ads
Back to top button