
KRISIS NISSAN DI CHINA MAKIN PARAH – KILANG DI WUHAN BAKAL DITUTUP
Nissan kini berdepan tekanan hebat di pasaran automotif China apabila laporan terbaharu menunjukkan syarikat itu merancang untuk menutup operasi di kilangnya di Wuhan.
Langkah drastik ini menyusul selepas prestasi jualan model Ariya dan X-Trail yang dikeluarkan di kilang tersebut semakin merosot.
Kilang yang mula beroperasi pada 2022 itu hanya menghasilkan sekitar 10,000 unit setahun—jumlah yang sangat jauh daripada kapasiti maksimum 300,000 unit setahun.
Untuk rekod, tapak kilang itu disewa oleh Nissan daripada Dongfeng Motor.

Tekanan terhadap Nissan tidak terhenti di situ. Persaingan sengit daripada pengeluar tempatan di China telah menjejaskan keupayaan jenama asing seperti Nissan untuk kekal bersaing.
Menurut laporan Reuters, lonjakan populariti kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan telah menyebabkan syarikat Jepun itu ketinggalan, terutama dalam memenuhi cita rasa pengguna di China yang kini lebih cenderung kepada jenama tempatan.
Sebelum ini, pada Jun tahun lalu, Nissan telah menutup sebuah lagi kilangnya di Changzhou yang mempunyai kapasiti pengeluaran 130,000 unit setahun.
Penutupan itu juga disebabkan oleh perubahan landskap pasaran yang semakin memihak kepada pengeluar EV China serta permintaan semakin berkurangan terhadap kenderaan import.
Dalam usaha menyelamatkan syarikat, Nissan sedang melaksanakan pelan penyusunan semula besar-besaran. Ia termasuk pengurangan tenaga kerja seramai 9,000 orang, penutupan beberapa fasiliti pengeluaran, dan pengurangan barisan model.
Syarikat itu juga sedang giat mencari rakan strategik baharu, termasuk kemungkinan bekerjasama dengan gergasi teknologi Taiwan, Foxconn.