
JAECOO J7 RASMI DIDEDAHKAN – TAMPIL ELEGAN DAN LASAK, JANA 194HP
Jenama automotif off-road baharu, JAECOO hari ini secara rasmi mendedahkan model SUV JAECOO 7 menerusi pratonton eksklusif.
JAECOO 7 atau J7 adalah sebuah SUV off-road bandar tahan lasak dan serba boleh, melambangkan dengan sempurna falsafah jenama JAECOO “From Classic, Beyond Classic”.
Dari segi spesifikasi, ia memiliki ukuran 4,500mm (panjang), 1,865mm (lebar), 1,680mm (tinggi) dan jarak roda diletakkan pada 2,650mm.

Untuk penggayaan, ia datang dengan imej SUV off-road yang ranggi dengan padanan gril besar, rekaan lampu LED, serta mempunyai bumbung panoramik, memberikan rupa elegan dan sporty.
Di bahagian dalam, model J7 didatangkan bersama skrin panorama 14.8-inci, papan pemuka LCD penuh, dan paparan kepala ke atas W-HUD baharu, bagi memastikan interaksi lebih lancar, sistem audio Sony serta pengecasan tanpa wayar 50W.
Memberi keutamaan kepada keselamatan, JAECOO memastikan semua modelnya memenuhi piawaian keselamatan global lima bintang, dengan menggabungkan badan kerangka yang menyerap tenaga, keluli kekuatan tinggi, serta sistem ADAS canggih.

Selain itu, ia juga menampilkan ciri-ciri canggih seperti cip Qualcomm 8155, 7 nm terkini, yang menyediakan kuasa pengkomputeran dan responsif luar biasa, termasuk masa boot-up 2 saat serta keupayaan untuk memproses lebih dari 20 arahan dalam 30 saat.
Tambahan, J7 turut menampilkan sistem perkakasan pintar ‘1+2+1’ iaitu satu kamera pandangan hadapan multifungsi (FCM), dua radar gelombang milimeter (CRM) dan satu radar gelombang milimeter (FRM).
Dari segi kuasa, ia dijana oleh enjin 1.6-liter turbo, berupaya menghamburkan kuasa 194hp dan 290Nm tork.
Nadi berkenaan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan dan kuasa disalurkan ke semua roda dengan kelajuan maksimum 210 km/j.
GALERI:












