
CHERY MALAYSIA RASMI KILANG PEMASANGAN JAECOO DI SHAH ALAM
CHERY Auto Malaysia Sdn Bhd, hari ini telah melancarkan Kilang Korporat Malaysia CHERY di Shah Alam.
Kemudahan ini adalah yang pertama di rantau ASEAN untuk mengeluarkan JAECOO J7, kenderaan utiliti sukan (SUV) luar jalan premium.
Pelancaran kilang ini diraikan dengan pengeluaran SUV luar jalan premium JAECOO J7 Pacuan Dua Roda (AWD) sulung daripada barisan pengeluaran, disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Industri dan Teknologi Maklumat dari China (MIIT), Dr Jin Zhuanglong.
Delegasi berperingkat tinggi dari China turut termasuk, Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa dari MIIT, Xu Chaofeng, Ketua Pengarah Jabatan Pertama Industri Pembuatan Peralatan dari MIIT, Wang Weiming, Pengarah Jabatan Pertama Industri Pembuatan Peralatan dari MIIT, Ma Chunsheng, Setiausaha Pejabat Agung MIIT, Sheng Yuanfeng dan Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa dari MIIT, Li Yuan.

Kehadiran delegasi ini jelas membuktikan kepentingan upacara tersebut dan pelaburan oleh pihak CHERY di Malaysia.
Lawatan ke fasiliti ini memaparkan teknologi canggih terkini dan proses kawalan kualiti ketat yang diguna pakai bagi semua kenderaan JAECOO.
Untuk rekod, JAECOO J7 AWD dan 2WD (Pacuan Dua Roda) bakal menjadi model pertama yang dipasang di kemudahan di Shah Alam.
Selain itu, pembukaan kilang ini telah mencipta 500 pekerjaan baharu dengan potensi perkembangan seiring dengan permintaan pasaran.

Terletak secara strategik di zon perindustrian Shah Alam, Kilang Korporat Malaysia CHERY beroperasi berhampiran para pengeluar tempatan yang penting kepada rantaian bekalan.
Kemudahan ini juga terletak tidak jauh dari pelaburan paling sibuk Malaysia, yang merupakan pelabuhan kedua terbesar di Asia Tenggara – meningkatkan lagi tahap kesediaan pengeluar untuk mengeksport ke rantau ASEAN pada masa depan.
Sehingga kini, CHERY bertanggungjawab mencipta lebih daripada 1,000 pekerjaan di Malaysia menerusi operasi tempatannya.
Bukan itu sahaja, jenama ini juga mempunyai rangkaian 100 pusat jualan dan servis di seluruh negara.
Pelancaran fasiliti tersebut akan diikuti dengan pelancaran rasmi kenderaan J7 di Malaysia, SUV kegunaan lasak premium oleh JAECOO, pada 19 hingga 21 Julai.