" "
Pandu Uji

MAZDA 6, ULANG TAHUN KE 20. KEKAL HENSEM, SEDAP DIPANDU

Menjadi lumrah kepada orang lelaki untuk menjadi pelupa termasuklah tarikh hari lahir isteri, tarikh ulang tahun perkahwinan dan kadangkala tarikh hari lahir sendiri pun orang lelaki lupa. Tapi orang lelaki tidak akan lupa dengan jentera seperti kereta dan juga motosikal

Mungkin untuk mengingatkan peminat lelaki berkenaan dengan sedan mewah, Mazda menghasilkan satu model khas sempena 20 tahun kelahiran Mazda 6 yang dikeluarkan pada tahun 2002. Sejarah Mazda 6 bermula dengan model Capella dan digantikan dengan Mazda 6 pada tahun 2002, 2007 dan akhir sekali 2012.

Bahagian luar Mazda 6 20th Anniversary ini menggunakan warna merah Artisan Red Premium yang sama dengan SUV terbaru iaitu Mazda CX-90. Terdapat 2 lencana 20th Anniversary disemat di bahagian sisi Mazda 6 bagi membezakannya dengan varian yang lain

Jeriji depan disudahkan dengan warna gunmetal finish dan bingkai krom yang berkilat. Rim 19 aloi inci pula diberikan kemasan yang lebih garang kelabu berkilat. Namun ia menjadikan penampilan dan persembahan Mazda 6 20th lebih menarik berbanding dengan varian biasa.

Untuk kemasan depan, warna krim yang digunakan pada balutan kulit kusyen, suede pada bahagian papan pemuka dan kemasan pintu. Ia seakan menyambut kedatangan anda dengan warna yang hangat dan terasa mewah serta disematkan logo 20th Anniversary pada kusyen

Skrin multimedia i-Connect dibesarkan kepada saiz 8 inci lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto. Ciri Head Up Display dan meter digital sebesar 7 inci dikekalkan sama seperti dulu. Mazda 6 juga diberikan kusyen dengan ciri penyejukan, cermin suria, 2 poin USB di hadapan, dan pengecasan tanpa wayar

Untuk bahagian belakang, Mazda 6 diberikan corong penyaman udara, 2 poin USB di dalam perehat tangan, tirai cermin belakang, lampu kabin dari mentol LED termasuk dibahagian depan dan juga 11 pembesar suara daripada jenama BOSE

Berikut pemerhatian penulis berkenaan dengan pemanduan Mazda 6 20th Anniversary:

1. Bagi varian ini, ia hanya ditawarkan dengan enjin 2500cc 4 silinder yang menjana sekitar 192 kuasa kuda dan 258Nm tork pada 4000 RPM. Hanya transmisi 6 kelajuan automatik ditawarkan dengan ciri Sport Mode serta penukar gear di belakang stering.

Untuk menikmati kuasa enjin secara maksima, guna saja Sport Mode dan tukar sendiri gear dengan menggunakan paddle shifter. Ia akan menghasilkan runut bunyi yang sporti dan sedap didengar di dalam kabin dan juga pemandu

Tapi jika dipandu dengan berhemah, Mazda 6 memberikan bacaan sekitar 13.4km/liter dan angka ini tidak jauh daripada angka rasmi iait 14.2km/liter

2. Operasi gear dan enjin adalah sangat lancar tapi tidaklah menyentap pada permulaan pecutan jika dibandingkan dengan varian 2.2 turbodiesel yang ditawarkan dulu. Tapi dari segi kelancaran dan juga operasi enjin, varian petrol ini terasa lebih “halus” dan kurang bergegar

3. Enjin petrol ini juga ada kelebihan tersendiri iaitu ia lebih ringan berbanding dengan varian turbodiesel. Keadaan ini menjadikan bahagian depan Mazda 6 petrol lebih ringan di bahagian depan, menjadikan Mazda 6 petrol leboh lincah berbanding dengan turbodiesel.

Mazda 6 petrol terasa lebih seimbang di selekoh dengan operasi di selekoh terasa lebih “fluid”, lebih melekat dan selesa jika berhadapan dengan jalan berlubang dan berbonggol di selekoh. Malah tak keterlaluan juga penulis boleh simpulkan Mazda 6 terasa lebih dinamik berbanding dengan Mazda 3.

4. Sama sepeerti model yang lain, aspek NVH telah ditambahbaik terutama pengurangan bunyi bising di dalam kabin dengan penggunaan bahan kedap bunyi di sekitar perumah tayar. Keadaan ini menjadikan pemanduan jarak jauh tidak menjadi penat terutama olengan cesi juga adalah terkawal.

Turut menerima pembaharuan ialah brek kecemasan di bahagian depan dan juga belakang, Mazda Radar Cruise Control dengan ciri Stop & Go, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, lampu depan dengan ciri Adaptif, Blind Spot Warning dan juga Driver Attention Alert.

Dalam aspek MRCC, operasi sistem adalah lancar dan tidak tersentap sentap semasa memecut di lebuhraya. Cuma penulis perasan kualiti kamera 360 darjah masih lagi seperti dulu, agak kabur dan seperti menggunakan kamera daripada telefon Nokia 20 tahun lepas.

Dengan harga sekitar Rm 241,000 Mazda 6 20th Anniversary diberikan jaminan selama 5 tahun, dan juga servis percuma selama 5 tahun atau 100,000km. Sebenarnya sedan segmen D sudah tidak banyak pilihan selain daripada Toyota Camry, Mazda 6 dan juga Volkswagen Arteon.

Malah Honda juga memutuskan untuk tidak lagi menjual Honda Accord generasi terbaru disebabkan trend pembeli sekarang yang lebih menggemari SUV berbanding dengan sedan. Keadaan ini juga menjadikan Mazda untuk membangunkan lebih banyak SUV berbanding dengan sedan

Jadi Mazda 6 20th Annoversary ini mungkin manifestasi terakhir daripada Mazda bagaimana satu ketika dulu sedan bersaiz besar adalah satu produk yang popular sebelum kedudukannya dirampas oleh SUV.

Google ads
Back to top button