
JAGUAR RARE E-TYPE 1965 TERSADAI PERNAH DILELONG RM229,372. KALAU RESTORE BOLEH CECAH RM800K
Jentera rare Jaguar E-Type yang terbiar selama separuh abad di sebuah bangsal di Britain, pernah dilelong pada harga tinggi sehingga mencecah £41,400 (RM229,372).
Kereta klasik keluaran tahun 1965 yang digelar Big Cat itu terbiar sehingga diselaputi habuk dan sarang labah-labah serta berkarat.
Bagaimanapun, menurut laporan akhbar The Sun, ia dijangka boleh dijual pada harga sekitar £150,000 (RM830,981) selepas menjalani proses restorasi.

Jaguar E-Type disifatkan sebagai satu daripada kereta paling cantik dan bergaya pada era 1960-an malah merupakan pilihan golongan ‘bangsawan’ serta selebriti.
Antara golongan terkenal pernah memiliki model kenderaan itu termasuk George Best, Sir Jackie Stewart, Steve McQueen, Mick Jagger, George Harrison dan Duke of Kent.
Jentera berkenaan mampu mencatat kelajuan mencecah 241 kilometer sejam (km/j) dan memecut dari 0 hingga 97 km/j dalam masa enam saat sahaja.

Syarikat penjual kereta klasik, H&H berkata, kenderaan itu masih mempunyai cat berwarna biru di beberapa bahagian badannya. Ia juga tidak dipandu di atas jalan raya dalam tempoh 49 tahun lalu.
“Masih mengekalkan kesan cat asal dan apa yang dianggap sebagai bahagian dalaman asalnya yang dipasang di kilang, Jaguar ini telah menghabiskan seluruh jangka hayatnya di Anglia Timur.
“Namun, jika dibaik pulih kepada keadaan asalnya, kereta ini boleh dijual pada harga mencecah £150,000 (RM830,981),” kata H&H.

Kereta klasik itu mula didaftarkan pada 3 Mac 1965.
Ia merupakan antara satu daripada 1,584 unit Jaguar E-Type Series One 4.2 Fixed Head Coupe pemanduan sebelah kanan sebelum pengenalan model Series 1.5. – thesun/KOSMO!