Buletin

JAGUAR XE SV PROJECT 8, SEDAN 0-100KM/J DALAM 3.7 SAAT (LONG LIVE SEDAN!)

Sedan berprestasi premium bukan dikeluarkan oleh BMW M, AMG atau Lexus F sahaja, ada lagi misalnya Special Vehicle Operations (SVO) oleh Jaguar.

Pada tahun 2017 SVO mengeluarkan sebuah sedan premium istimewa dikenali sebagai jaguar XE SV Project 8.

Sedan tersebut berkuasa 600 PS daripada enjin 5.0 liter V8 supercharge. XE SV Project 8 adalah sedan jalanan paling ekstrem pernah dikeluarkan Jaguar.

Jaguar XE SV Project 8 Track

Satu contoh ekstrem ialah sedan ini boleh dipesan dengan dua kerusi sahaja manakala bahagian belakang diisi palang rangka keselamatan. Kekal relevan, pelanggan juga boleh memesan versi empat kerusi.

Bagi mengurangkan berat badan, sedan ini menggunakan sejumlah komponen daripada gentian karbon seperti bonetdan bampar depan belakang.

Bukti prestasi hebat XE SV Project 8 ialah catatan rekod sedan produksi terpantas di tiga litar iaitu Nürburgring Nordschleife, Dubai Autodrome dan Laguna Seca.

Jaguar XE SV Project 8 Track

Sedan ini dikeluarkan sebanyak 300 unit sahaja dan dipasang dengan tangan di Pusat Teknikal SVO di Warwickshire, United Kingdom.

Hampir genap dua tahun, SVO kembali dengan XE SV Project 8 versi Touring yang lebih mesra jalanan.

Versi Touring hadir dengan reka bentuk lebih tenang tanpa spoiler tinggi boleh laras gentian karbon yang diganti spoiler kekal di atas but.

Perubahan tersebut tidak menjejaskan prestasi dengan pecutan 0 hingga 100 km/j kekal pada 3.7 saat dan kelajuan maksimum dihadkan pada 300 km/j. Kelajuan maksimum versi asal ialah 321.8 km/j.

Jaguar XE SV Project 8 Touring

Sesuai dengan namanya varian Touring hadir secara eksklusif dengan empat kerusi, pelanggan tidak boleh memesan dua kerusi seperti varian asal.

Identiti asal seperti splitter di sekeliling kereta masih kekal supaya memberi ingatan bahawa ini bukan sebarang sedan daripada Jaguar.

Jika varian asal hanya dikeluarkan sebanyak 300 unit, varian Touring ini lebih terhad iaitu 15 unit sahaja.

Jaguar XE SV Project 8 Track

Pelanggan boleh memesan Jaguar XE SV Project 8 dalam empat warna pilihan iaitu Valencia Orange, Velocity Blue, Corris Grey Satin dan British Racing Green.

Jaguar juga memaklumkan versi Track Pack Jaguar XE SV Project masih boleh dibeli dan berada dalam jumlah terhad pada harga permulaan £149,995 (RM794,306.02).

*£1 = RM5.30

Tags
Google ads
Back to top button