Buletin

JAGUAR LAND ROVER BANGUNKAN SISTEM ANTI MABUK PERJALANAN

Adakah artikel ini berkaitan dengan Oktoberfest? Pesta arak? Tidak. Ini adalah tentang satu teknologi anti mabuk perjalanan atau kenderaan yang sedang dibangunkan Jaguar Land Rover (JLR) untuk ditawarkan pada masa depan.

Kenderaan JLR pada masa depan berupaya mengesan jika penumpang kurang sihat dan melaras tetapan untuk mengelak mabuk atau loya semasa dalam perjalanan.

Penyakit mabuk ini ialah apabila pemandu atau penumpang berasa pening-pening di dalam kenderaan dan penyakit ini menjejaskan lebih daripada 70 peratus individu.

Penyelidik teknologi kesihatan JLR, Spencer Salter memaklumkan bahawa sangat sedikit yang diketahui tentang punca dan bagaimana untuk mencegahnya.

Mabuk perjalanan biasanya berpunca dari mata apabila memerhatikan maklumat yang berbeza daripada apa yang dirasai oleh bahagian dalam telinga, kulit atau pergerakan badan.

Kejadian ini biasa berlaku apabila sedang membaca. Ada yang kalis dengannya dan ada juga yang terus mabuk dan pening selepas beberapa ketika.

Melalui kajian yang dibuat dalam bidang ini, JLR telah mencipta satu algoritma bagi menghasilkan markah kesihatan untuk setiap penumpang.

Teknologi ini mampu menetapkan talaan dan ruang dalaman kereta secara automatik bagi mengurangkan kesan sakit sehingga 60 peratus.

Dalam kajian yang dilakukan, JLR telah berjaya mengumpul data mabuk perjalanan untuk jarak 24,000 km dan menguji kesan daripada melakukan tugas seperti memeriksa emel.

Data ini berjaya menghasilkan gaya pemanduan asas untuk pemanduan kendiri dan mengurangkan keperluan bagi membetulkan stereng seterusnya membolehkan penumpang membuat kerja atau berehat.

Teknologi markah kesihatan berfungsi dengan mengira bagaimana pemandu dan penumpang berpotensi untuk mengalami mabuk perjalanan menggunakan sensor biometrik yang merakam tanda-tanda fisiologi.

Menggabungkan cerapan ini dan data pergerakan serta maklumat lain, kenderaan JLR berupaya untuk mengenalpasti jika seorang penumpang atau pemandu dilanda penyakit mabuk perjalanan sebelum mereka sendiri menyedarinya.

Kenderaan Jaguar atau Land Rover yang ditawarkan pada hari ini sebenarnya sudah direka bagi mencegah rasa mabuk di dalamnya.

Jaguar E-PACE misalnya mempunyai 26 jenis larasan kerusi supaya skrin infohibur dapat diubah ke laras mata serta menghidupkan fungsi penyejukan kerusi. Kedua-dua fungsi ini telah dibuktikan dapat mengurangkan kemungkinan berlakunya mabuk perjalanan.

Selain itu sistem Adaptive Dynamics pada E-PACE juga berupaya untuk mengubah tetapan ketinggian setiap 10 mili saat agar penumpang sentiasa selesa dan mengurangkan faktor berlakunya mabuk perjalanan.

Teknologi yang dibangunkan JLR ini harus dipuji. Mereka yang biasa mengalami mabuk perjalanan tahu betapa peningnya apabila dihidapi sakit ini. Baca majalah sikit terus pening. Kemudian apa pun tidak boleh buat kecuali tidur.

BACA: LITAR INI MERBAHAYA SEBAB BATU JATUH DAN JAGUAR KEMBALI UNTUK CATAT REKOD

BACA: JAGUAR CLASSIC TUKAR E-TYPE JADI KERETA ELEKTRIK – JAGUAR E-TYPE ZERO

Google ads
Back to top button