Buletin

LITAR INI MERBAHAYA SEBAB BATU JATUH DAN JAGUAR KEMBALI UNTUK CATAT REKOD

Kegilaan berlumba bukan sahaja baru bermula dua atau tiga dekad kebelakangan malah lebih lama daripada itu. Ada litar yang sudah hampir berusia 60 tahun misalnya Circuit de Charade yang terletak di Clermont Ferrand, Perancis.

Litar ini mula dibina pada tahun 1957 dengan perlumbaan pertama pada tahun berikutnya. Litar dengan jarak lapan km itu kemudiannya digunakan untuk Grand Prix Perancis pada tahun 1965, 1969, 1970 dan 1972.

Menariknya litar ini menggabungkan jalan awam dan litar lumba.

Sejarah tersimpan apabila litar ini tidak lagi digunakan untuk acara besar kerana ia sebenarnya terletak di atas gunung berapi yang tidak aktif dan kekurangan kawasan run-off apabila kereta atau motosikal terbabas.

Bayangkan sewaktu perlumbaan batu dari kawasan tinggi boleh bergolek jatuh dan pernah terdapat kes pelumba yang buta akibatnya.

Bukan sahaja pemandu dan penunggang menemui ajal, marshal perlumbaan pun turut sama. Oleh itu litar de Charade ini ditutup untuk acara besar kecuali program komuniti dan acara tahunan.

Litar ini telah melalui permodenan dengan jarak baharu yang lebih pendek dan hanya sebahagian laluan lama digunakan.

Litar de Charade mungkin dilupakan ramai tetapi tidak bagi Jaguar. Pengeluar Britain ini kembali ke litar legenda untuk menghabiskan satu pusingan di laluan asal yang telah ditutup selepas tiga dekad.

Vincent Radermecker, pemandu yang mencatatkan rekod di Nürburgring menggunakan Jaguar XE SV Project 8 tahun lalu kembali ke de Charade dengan model XE 300 SPORT.

Masa yang dicatatkan beliau di litar mencabar ini ialah 4 minit 9 saat dengan kelajuan purata 116 km/j. XE 300 SPORT yang dipandu Vincent dikuasakan oleh enjin 2.0 liter Ingenium 300 ps dan 400 Nm mampu memecut 0 – 100 km/j dalam masa 5.7 saat.

Satu lagi perkara menarik tentang litar de Charade ialah satu ketika dahulu ia dipanggil Nürburgring Perancis malah lebih mencabar daripada trek di Jerman tersebut. Ada pelumba berasa mabuk apabila memandu di sini!

Di mana lagi hendak jumpa litar yang dibina di atas bekas gunung berapi? Terima kasih juga kepada Jaguar kerana membuka kembali memori tentang litar ini.

BACA: JAGUAR CLASSIC TUKAR E-TYPE JADI KERETA ELEKTRIK – JAGUAR E-TYPE ZERO

Google ads
Back to top button