Buletin

JENTERA TERPUTUS DUA, TERBAKAR DI GP BAHRAIN. GROSJEAN SELAMAT

Pelumba Formula 1 pasukan Haas, Romain Grosjean terlibat dalam kemalangan ngeri di di pusingan pertama Grand Prix Bahrain pada Ahad.

Grosjean yang berasal dari Perancis terbabas sebelum merempuh penghadang litar di selekoh ketiga, sehingga menyebabkan jenteranya meletup dan terputus dua.

Dia telah keluar dari kokpit jentera yang terbakar dan dibantu petugas litar serta membawanya ke tempat selamat sebelum mereka memadamkan kebakaran.

Menurut pengurusan pasukan Haas, Grosjean mengalami kecederaan ringan melecur pada bahagian tangan dan pergelangan kaki.

Dia dilaporkan dalam keadaan baik selepas mendapatkan rawatan dengan pasukan perubatan di unit kecemasan walaupun masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Berikutan kejadian itu, perlumbaan dihentikan serta-merta dan pihak penganjur segera menutup rakaman kamera siaran langsung.

Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menyatakan kesyukuran kerana kejadian itu tidak melibatkan kematian.

“Saya sangat bersyukur Romain selamat. Wow … risiko yang kita (pelumba F1) bukan perkara biasa, bagi anda di luar sana yang tidak tahu tentang risiko yang kami hadapi dalam industri sukan ini.

“Terima kasih kepada FIA atas tindakan pantas yang diambil terhadap Grosjean untuk memastikannya selamat daripada kejadian itu,” katanya.

Dalam pada itu, melalui ciapan Twitter pasukan, Grosjean memberitahu dia okay dan berterima kasih dengan mesej-mesej diterimanya selepas kemalangan.

Dia turut mengatakan peranti Halo telah menyelamatkannya.- agensi

Google ads
Back to top button