Motosikal

KAYUH 1,200KM, REMAJA PEREMPUAN DIJEMPUT SERTAI PASUKAN BERBASIKAL KEBANGSAAN INDIA

Susulan had pergerakan COVID-19, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun terpaksa mengayuh basikal lebih 1,000 kilometer sambil membawa bapanya yang cedera merentasi seluruh India telah diundang untuk mencuba nasib menyertai pasukan berbasikal negara berkenaan.

Jyoti Kumari mengayuh basikal bersama bapanya, Mohan Paswan yang juga seorang pekerja migrasi dengan membawa barangan peribadi dari bandar Gurugam berhampiran New Delhi ke kampung mereka di utara daerah Bihar, lapor media tempatan.

Mereka selamat tiba di kampung pada 16 Mei selepas berkayuh lebih 1,200 kilometer selama tujuh hari.

Paswan yang bekerja sebagai pemandu beca bermotor merupakan antara jutaan pekerja migrasi yang berdepan masalah kerja selepas negara berkenaan melakukan had pergerakan pada Mac bagi mengurangkan penularan virus berbahaya itu.

Tanpa sumber kewangan untuk membayar sewa atau membeli makanan dan pengangkutan awam disekat, kebanyakan mereka membuat keputusan untuk merentasi kawasan dengan berjalan kaki atau – sama seperti Kumari dan Paswan – mengayuh basikal ke kampung halaman.

Lebih menyayat hati, anak beranak itu melakukan perjalanan dengan membeli basikal terpakai yang dibeli menggunakan baki wang mereka.

Detik perit dihadapi pasangan anak beranak itu mendapat perhatian Persekutuan Berbasikal India. Ia kemudian menawarkan Kumari peluang keemasan untuk menyertai pasukan kebangsaan negara berkenaan.

“Dia dapat berkayuh dengan jarak berkenaan dalam tujuh hari bersama bapanya dan barangan mereka. Saya fikir dia mempunyai sesuatu dalam dirinya… tahap kecekalan. Kami boleh memberi peluang kepadanya,” kata Pengerusi Persekutuan Berbasikal India, Onkar Singh.

“Dia berkata, kemahuannya adalah hanya untuk menyambung pelajarannya. Kami memberitahunya yang kami juga akan menjaga pelajarannya di akademi kami.”

Badan berbasikal itu juga menjangkakan Kumari akan kembali ke Delhi selepas had pergerakan ditamatkan.

Singh berkata, persekutuan perlu menguji Kumari untuk melihat sekiranya dia sesuai untuk saingan berbasikal kompetitif.

Anak kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Ivanka Trump turut memuji usaha Kumari dalam akaun Twitter miliknya. – AFP, Berita Harian

Google ads
Back to top button