
KDEB WASTE MANAGEMENT TERIMA 51 TRAK UD TRUCKS CRONER EURO 5
KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab mengurus kutipan sisa pepejal dan kerja pembersihan awam, menerima 51 unit trak tugas sederhana model UD Trucks Croner Euro 5 bagi memperkasakan lagi operasinya di seluruh negeri.
Kesemua trak berkenaan diperoleh menerusi tempahan dengan Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), pengedar sah dan eksklusif jenama UD Trucks di Malaysia.
Memandangkan jumlah pesanan yang besar, proses penghantaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan, termasuk melalui fasa kawalan kualiti serta pembinaan badan khas mengikut spesifikasi operasi kutipan sisa.
Dalam penyerahan terbaharu, sebanyak 23 unit trak diserahkan untuk digunakan di kawasan Sepang.

Majlis simbolik penyerahan berlangsung di perkarangan Majlis Perbandaran Sepang dan disaksikan Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Haji Ramli Mohd Tahir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dr Hajah Ani Ahmad serta Ketua Pegawai Operasi TCIE, Loh Thim Choy.
Menurut Dato’ Haji Ramli, semua trak baharu itu telah mula digerakkan dalam operasi harian dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
Antara faktor pemilihan model berkenaan termasuk enjin berpiawaian Euro 5 yang lebih bersih, keupayaan operasi yang baik, kapasiti badan 19 tan, ruang kabin yang selesa untuk kru serta sokongan selepas jualan yang konsisten daripada pihak pengedar.
Ketika ini, KDEBWM menyediakan perkhidmatan di 12 pihak berkuasa tempatan di Selangor meliputi kawasan perumahan, taman rekreasi, sektor perindustrian dan komersial.
Penambahan trak baharu dilihat penting terutama ketika musim kutipan sisa meningkat serta bagi memenuhi keperluan kawasan pembangunan baharu yang semakin bertambah.

Kesemua casis diperoleh melalui proses tender terbuka hasil kerjasama TCIE bersama rakan pembina badan tempatan.
Sejak mula menggunakan kenderaan UD Trucks pada 2016 dengan hanya tujuh unit, armada KDEBWM kini berkembang kepada hampir 150 unit termasuk tambahan 51 trak terbaharu ini.
Pengarah Wilayah Asia Tenggara dan Asia Timur UD Trucks, Keiichiro Ochiai, menyatakan pihaknya berbangga kerana model Croner Euro 5 dapat menyokong peranan penting KDEBWM dalam memastikan kebersihan Selangor.
Trak tersebut direka bagi meningkatkan masa operasi, produktiviti serta kecekapan kos di samping mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Sementara itu, TCIE menegaskan komitmennya untuk terus memberikan sokongan teknikal dan perkhidmatan menyeluruh kepada KDEBWM bagi memastikan kelancaran operasi pengurusan sisa demi kesejahteraan rakyat negeri ini.









