Buletin

UD TRUCKS KINI MILIK ISUZU MOTORS

Isuzu Motors memiliki UD Trucks daripada Volvo Group yang merupakan sebahagian pakatan strategik antara kedua jenama terkenal dalam dunia automotif terbabit.

Berdasarkan kepada rangka kerja tersebut, UD Trucks diposisikan untuk membina satu hubungan mantap dengan Volvo Group dan Isuzu Motors.

Menurut kenyataan media, ia sekali gus membentuk sinergi di antara dua jenama berkenaan untuk jangka masa panjang.

Antara peluang yang akan diteroka UD Trucks termasuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain dan skala ekonomi, terutama dari segi trak tugas berat di pasaran Jepun dan antarabangsa.

Selain itu, ia dapat meneroka peluang kerjasama dalam aspek pembelian dan logistik, memanfaatkan teknologi bersama serta kehadiran geografi dengan lebih baik.

UD Trucks juga berupaya mencipta satu asas yang kukuh untuk terus melabur dalam pembangunan teknikal serta inovasi bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia.

Melalui pakatan strategik itu, berkuat kuasa pada 1 April lalu, Naoto Hakamata dilantik sebagai Pengerusi UD Trucks manakala Tetsuya Aiba memegang jawatan selaku Ketua Pegawai Kewangan (CFO).

Naib Presiden Eksekutif Volvo Group, Joachim Rosenberg turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi UD Trucks pada 31 Mac lalu.

UD Trucks memiliki pengalaman luas serta kepakaran dalam segmen trak tugas berat selama lebih 14 tahun bersama Volvo Group. Ia merangkumi bidang teknologi, perolehan, logistik, pengeluaran dan jualan.

Syarikat juga telah berusaha keras untuk mempromosikan kepelbagaian, cara bekerja yang fleksibel serta pemikiran global demi mengadaptasi perubahan.

UD Trucks akan terus komited terhadap jenamanya “Going the Extra Mile” dan membuatkan kehidupan manusia dan planet lebih baik dengan Isuzu Motors.

Google ads
Back to top button