Buletin

KEMENANGAN LUAR BIASA MORBIDELLI – RAZLAN

Prinsipal Pasukan Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT), Datuk Razlan Razali menyifatkan kemenangan Franco Morbidelli dalam kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) San Marino sebagai luar biasa.

Beliau berkata, pelumba kelahiran Rome, Itali berusia 25 tahun itu menunjukkan prestasi terbaik dengan bangkit dari kekecewaan setelah terlibat dalam kemalangan di GP Austria, bulan lepas.

“Ini adalah kemenangan yang luar biasa bagi Franco (Morbidelli). Memang patut, terutamanya selepas dia terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan pertama GP Austria,” kata Razlan.

Morbidelli, yang memulakan perlumbaan di petak kedua, memimpin perlumbaan 27 pusingan sejak awal sehingga melintasi garisan penamat dengan catatan masa 42 minit 02.272 saat (s).

Rakan senegara, Francesco Bagnaia daripada Pramac Racing Team dan pelumba Sepanyol Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar,  di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing ketinggalan 2.217s dan 2.290s.

Kemenangan Morbidelli membolehkan beliau naik ke tempat ketujuh dalam kedudukan Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas MotoGP dengan 57 mata, sementara Quartararo kekal dengan 70 mata di tempat kedua selepas enam perlumbaan.

Google ads
Back to top button