Buletin

PERODUA SASAR JUALAN 314K DAN PRODUKSI 330K PADA TAHUN 2023

Perodua mensasarkan jualan sebanyak 314,000 unit dan memaksimumkan produksinya kepada 330,000 unit pada tahun ini dalam usaha memenuhi tempahan yang dibawa dari tahun lepas, serta permintaan berterusan pada tahun ini. 

Sasaran 330,000 pengeluaran dan 314,000 jualan adalah 14.2% dan 11.3% lebih tinggi berbanding prestasi pengeluaran dan jualan Perodua pada tahun 2022 yang mencatatkan sebanyak 289,054 dan 282,019 unit.

“Tahun 2023 memberi peluang terbaik kepada kami kerana pelanggan masih yakin dengan pasaran automotif. Malah, lebih daripada separuh volum sasaran kami datangnya dari tempahan tahun lalu tetapi masih belum diserahkan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Kapasiti normal tahunan kilang  Perodua Manufacturing and Perodua Global Manufacturing adalah sebanyak 320,000 unit melalui dua shift, kami masih boleh meningkatkan jumlah itu dengan menambah baik produktiviti dan melaksanakan kerja lebih masa.”  

Pertumbuhan pengeluaran memberi kesan signifikan kepada industri automotif Malaysia kerana Perodua telah memperuntukkan RM10.0 bilion untuk membeli alat ganti daripada para pembekal tempatan bagi memenuhi sasarannya bagi tahun ini.

Komitmen pembelian ini dijangka menggalakkan lagi ekosistem automotif Malaysia untuk menambah baik keupayaan pengeluaran dan standard kualitinya.”

“Secara ringkas, peningkatan dalam pengeluaran akan memberi rangsangan yang amat diperlukan buat industri tempatan kita untuk meningkatkan skala ekonomi mereka serta bersaing dengan lebih baik dengan rakan mereka yang lain di luar negara,” kata Dato’ Sri Zainal.

Secara keseluruhannya, Perodua telah menghasilkan sejumlah 4.68 juta kenderaan sejak ia mula dikeluarkan pada 1994.

Dari segi pasaran keseluruhan, Perodua percaya bahawa masih ada peluang yang cerah buat industri walaupun menghadapi banyak tekanan kos. Pengeluar kereta itu percaya jumlah volume industri boleh melebihi 650,000 unit seperti yang diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Berdasarkan tempoh menunggu bagi kebanyakan jenama, serta permintaan yang masih kukuh untuk kenderaan Perodua, TIV berpotensi mencecah 700,000 tahun ini.

Google ads
Back to top button