Buletin

KERETA REMUK DILANGGAR HONDA SCOOPY – NETIZEN KAGUM ‘SKUTER ADA SUPER POWER’

Satu klip video hasil perkongsian akaun Instagram @infocegatansukoharjo menarik perhatian netizen di Indonesia apabila memaparkan insiden kemalangan membabitkan sebuah skuter Honda Scoopy dan kereta.

Apa yang membuatkan netizen teruja dan tertanya-tanya adalah bagaimana skuter tersebut masih kukuh meskipun dirempuh oleh kereta terbabit dari arah belakang.

Lebih mengejutkan lagi, kereta itu remuk begitu teruk di bahagian hadapan hingga membuatkan netizen berasa kagum dengan kualiti skuter tersebut.

Skuter yang digelar oleh netizen sebagai ‘motosikal terkuat di bumi’ itu sebenarnya bukanlah memiliki kekuatan super, tetapi kerosakan itu berlaku di zon remuk yang meminimumkan kecederaan pemandu.

Menurut laman web rasmi Daihatsu, zon remuk adalah bahagian kenderaan yang direka untuk musnah dalam kemalangan.

Kawasan itu berfungsi menyerap tenaga kinetik akibat pelanggaran supaya dapat meminimumkan kesan rempuhan.

Berbeza dengan kenderaan pada era terdahulu, pengeluar menghasilkan kereta menggunakan bahan mentah paling kuat bagi mengelak sebarang perubahan pada bentuk kereta.

Bagaimanapun, bahan mentah yang kuat ternyata mendatangkan bahaya kepada pemandu apabila berlaku pelanggaran.

Kajian mendapati ia boleh memindahkan aliran tenaga impak ke dalam kabin kereta dan memburukkan lagi kecederaan pemandu dan penumpang. – Kosmo

Google ads
Back to top button