Buletin

PROTON CATAT PERTUMBUHAN JUALAN 162% PADA JANUARI 2023. SAGA PALING LARIS

Proton menikmati permulaan tahun 2023 dengan baik apabila jualan kenderaannya meningkat sebanyak 162.3 peratus dari tahun ke tahun dengan 11,681 unit pada Januari 2023. Angka itu merangkumi jualan domestik dan import.

Pegangan pasaran Proton untuk Januari dianggarkan 22.9 peratus, meningkat lebih 12 peratus dari tahun ke tahun. Ini merupakan pertambahan lebih 3 peratus berbanding pegangan pasaran sebanyak 19.2 peratus pada 2022.

Jumlah keseluruhan volum industri (TIV) untuk Januari dianggarkan sebanyak 51,000 unit, naik sebanyak 22.8 peratus dari segi jumlah jualan kenderaan.

“PROTON telah menikmati permulaan begitu baik untuk tahun 2023. Kami menjangkakan aliran ini akan berterusan sehingga suku pertama tahun ini kerana kami mesti memenuhi pesanan tertunggak yang dikecualikan daripada SST menjelang 31 Mac.

“Untuk baki 2023, walaupun sentimen pasaran menganggarkan TIV akan surut daripada rekod baru jumlah jualan pada tahun lepas, PROTON optimis mampu mencapai pertumbuhan untuk tahun ke lima berturut-turut,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, Roslan Abdullah.

Tambah Roslan, beliau yakin Proton mampu mencapai keputusan lebih positif pada akhir tahun ini terutamanya dengan penambahan model EV, fasiliti baru yang akan beroperasi di kilang Tanjung Malim serta pelaburan kepada pengecasan EV.

Dengan bekalan cip kini lebih stabil, jumlah jualan Persona menunjukkan peningkatan membolehkan model itu kembali ke tempat tertinggi untuk jualan sedan segmen-B. Sebanyak 2,039 unit telah dijual pada Januari dan ini merupakan bulan kedua berturut-turut model itu mencapai angka lebih 2,000 unit.

Proton X50 meneruskan trend peningkatan dengan 2,992 unit telah terjual pada Januari dan kekal di tangga teratas carta jualan SUV segmen-B secara keseluruhan SUV. Proton X70 pula mencatat jualan 993 unit bulan lepas dan berada di tempat kedua dalam segmennya.

Proton Saga kekal menjadi model terlaris dengan jualan 4,788 unit. Sementara jualan Proton Iriz melonjak sebanyak 111 peratus dari tahun ke tahun untuk mengakhiri bulan dengan 597 unit. Proton Exora juga mengekalkan kedudukan sebagai raja MPV segmen-C apabila 332 unit dijual bulan lalu.

Google ads
"
"
Back to top button