
GARA-GARA HUJAN LEBAT, KERETA ‘TERJUN’ DALAM TASIK THE MINES
Seorang pemandu e-hailing yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil penumpang melalui detik cemas apabila kereta dipandunya terbabas dalam tasik The Mines, di sini, semalam.
Bagaimanapun, mangsa seorang wanita berjaya keluar dari tingkap keretanya sebelum diselamatkan sebuah bot di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A.A Anbalagan Arumugam berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.34 petang mengenai insiden yang berlaku di laluan kenderaan bersebelahan perumahan The Heritage.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang semasa kejadian pemandu berusia 49 tahun itu sedang memandu kereta p-hailing jenis Toyota Vios.

“Kemalangan ini berlaku apabila wanita itu sedang memandu untuk ambil penumpang di Aestetica Residence yang mana cuaca ketika itu hujan lebat.
“Mengikut keterangan pemandu, ketika melalui laluan jalan bersebelahan The Heritage keadaan hujan sangat lebat dan air bertakung atas laluan itu pada waktu kejadian dan secara tiba-tiba keretanya terbabas masuk ke dalam tasik.
“Pemandu wanita itu sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari tingkap hadapan (bahagian pemandu),” katanya.
Tambah Anbalagan, beberapa seketika sebuah bot datang ke lokasi kejadian dan menyelamatkan pemandu wanita itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu wanita itu terselamat tanpa sebarang kecederaan di badan,” ujarnya. – MalaysiaGazette