Buletin

KENAPA PERLUMBAAN F1 TIDAK LAGI DIANJURKAN DI LITAR NURBURGRING

Rasanya semua orang sudah kenal dengan Litar Nurburgring Nordschleife bagi peminat permotoran ataupun kereta. Sir Jacky Stewart menggelarkan litar ini sebagai Green Hell kerana litar ini dikelilingi oleh pokok-pokok menghijau yang menenangkan namun hanya mereka yang pernah memandu di sini sahaja tahu akan kesukaran memandu dengan laju di litar ini. Litar ini sebenarnya dibina merentasi kaswasan berbukit dengan perbezaan ketinggian 300 meter dari kawasan paling rendah ke kawasan yang paling tinggi.

Pengeluar kereta dan juga tayar menjadikan litar ini sebagai medan untuk menguji prototaip kenderaan mereka ke tahap maksimum. Jika ujian di litar ini berjaya, maka prototaip mereka boleh dikatakan berjaya menghadapi apa jua keadaan permukaan jalan dan selekoh di dunia, kecuali jalan berlubang di Kuala Lumpur.

Litar asalnya direka dengan 174 selekoh dan panjangnya sekitar 28 kilometer memang benar-benar menguji keupayaan enjin, cesi dan sistem kereta serta menguji kekuatan mental dan fizikal pemandu. Atas faktor keselamatan litar ini telah dipendekkan menjadi 20.7km panjang dengan beberapa bahagian dan seksyen telah dinaiktaraf bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Kemalangan maut dan kecacatan kekal adalah risiko yang perlu dihadapi oleh pemandu ujian dan juga pemandu F1 jika mereka leka dan cuai ketika memandu di litar ini. Peter Collins mati pada tahun Grand Prix 1958, Niki Lauda mengalami kecederaan terbakar dan juga paru-parunya dicemari asap toksid ketika terlibat dalam kemalangan pada Grand Prix 1976 dan Hiromu Naruse iaitu pemandu ujian veteran Lexus mati di lokasi ini.

Terlalu Panjang dan Lama

Panjang keseluruhan litar  perlumbaan F1 yang moden sekarang berada dalam julat 5km-6km manakala litar Nordschleife memiliki panjang sekitar 20.7 kilometer. Bukan sahaja ia amat membebankan dan meletihkan pelumba, malah litar yang panjang ini membuatkan penonton menjadi bosan kerana kurangnya jentera F1 melintas di hadapan meraka. Jika litar 5km memerlukan pelumba F1 mengelilingi litar sebanyak 300kali, litar ini hanya memerlukan pelumba F1 memandu sebanyak 15 atau 16 kali sahaja.

Tunggu lepas 10 minit baru boleh tengok kereta yang sama melalui tempat penonton. Perbezaan masa 10 minit ini membuatkan penonton menjadi bosan dan bagi mengisi kekosongan masa ini biasanya mereka makan, bersembang ataupun bermain konda-kondi.

Isu Keselamatan

Litar ini sebenarnya tidaklah rata seperti yang dilihat tapi wujudnya beberapa bonggol kecil pada permukaan jalan menjadikan ia berbahaya pada kereta lumba. Menjadi lumrah pada kereta F1 untuk ditala dengan menggunakan penyerap hentak prestasi tinggi yang keras bagi membantu mengambil selekoh dengan laju sedikit sebanyak memberi risiko pada kestabilan jentera ketika melalui jalan berbonggol. Melalui bonggol pada halaju tinggi akan menyebabkan tayar hilang cengkaman.

Jika jentera F1 ini terbabas, satu lagi masalah yang timbul ialah ruang yang amat sempit antara litar dengan dinding keselamatan memberikan pemandu hanya sekelip mata untuk melakukan sebarang perubahan bagi mengelakkan kemalangan. Sebagai contoh Litar Antarabangsa Sepang ada ruang yang sangat besar sebagai kawasan penampan jika jentera F1 terbabas.

Kawasan ini biasa memuatkan batu kerikil yang akan bertindak sebagai brek semulajadi yang akan menghentikan jentera F1 yang terbabas daripada melanggar dinding. Kos pembaikan jentera F1 ini sangatlah mahal, jauh lebih mahal dari “cover set” Yamaha RXZ original.

Tulisan grafiti yang wujud pada sesetengah seksyen mestilah juga ditanggalkan bagi mewujudkan cengkaman tayar yang bagus pada permukaan jalan. Pokok-pokok pine yang wujud juga perlu ditebang bagi mengelakkan risiko jentera F1 terbabas daripada merempuh pokok dan membahayakan nyawa pemandu. Beberapa selekoh juga wajib direka dan diturap semula bagi memastikan keselamtan jentera melaluinya dengan halaju yang tinggi.

Disebabkan panjangnya melebihi 20.7 kilometer juga, lebih ramai marsyal keselamatan, ambulans, jentera bantuan kecemasan, serta pelbagai alat keselamatan perlu disediakan oleh penganjur berbanding dengan litar yang panjangnya 6 kilometer sahaja. Masihkah anda ingat kejadian pada 1 Ogos 1976 di mana Niki Lauda terbabas dan terperangkap di dalam api?

Walaupun sebelum perlumbaan Niki Lauda mencadangkan agar semua pelumba memboikot perlumbaan tersebut, cadangan tersebut telah ditolak oleh pelumba lain termasuk James Hunt.

Kewangan yang Berdarah

Pihak pengurusan litar ini sebenarnya mengalami masalah kewangan dan kawalan tunai yang lemah. Beberapa tahun yang sudah, pengurusan Litar Nurburgring telah menfailkan kebankrapan hasil daripada hutang $500 juta yang gagal dibayar dan juga kegagalan mereka menemui pelabur baru bagi membiayai kos operasi pada tahun 2012. Pada 2013 litar ini telah dijual pada harga USD 106.8 juta kepada Capricorn Development

Dengan keadaan kewangan pengurusan litar yang teruk, mana mungkin mereka dapat menganjurkan perlumbaan F1 lagi lebih-lebih lagi kos penganjurannya sangat mahal. Namun jika pemilik baru berniat untuk membetulkan semula spesifikasi litar berdasarkan undang-undang FIA, kosnya yang tinggi mungkin akan mengeringkan akaun bank mereka dengan pantas.

Maka dengan ini terjawablah persoalan yang sering difikirkan oleh peminat perlumbaan F1 “Mengapa Litar Nurburgring tidak lagi menganjurkan perlumbaan F1”. Kos penganjuran yang mahal, kos modifikasi litar untuk memastikan keselamatan pelumba yang tinggi, risiko yang tinggi dan kemungkinan juga membosankan penonton menjadikan litar Nurburgring sepanjang 20.7km ini digugurkan dari kalendar perlumbaan F1

Google ads
Back to top button