Buletin

MINI PAUL SMITH EDITION DIPERKENALKAN – HARGA MULA RM222K

Auto Bavaria baru-baru ini memperkenalkan MINI Paul Smith Edition kepada pelanggan dan peminat jenama itu menerusi sebuah acara eksklusif di Kuala Lumpur, sekali gus menambah satu lagi model unik dalam barisan MINI di Malaysia.

Edisi khas ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu White dan Statement Grey, dengan sentuhan rekaan tersendiri hasil kolaborasi bersama pereka terkenal Britain, Paul Smith.

Ia mengetengahkan konsep “Icon with a Twist”, menggabungkan identiti klasik MINI dengan elemen gaya yang lebih segar dan ekspresif.

Majlis tersebut menghimpunkan lebih 200 tetamu terdiri daripada pelanggan setia dan komuniti peminat MINI, yang berpeluang meneliti dengan lebih dekat perincian rekaan serta kemasan premium model ini.

Menurut Pengarah MINI Malaysia, Linnet Yew, edisi ini mencerminkan DNA kreatif jenama serta semangat keunikan yang menjadi teras MINI.

Selain model utama, Auto Bavaria turut mempamerkan beberapa edisi istimewa lain seperti MINI Countryman Stealth Limited Edition, MINI Countryman Shadowline Limited Edition, MINI 1965 Victory Edition serta MINI John Cooper Works GP Inspired Edition, menjadikan acara tersebut lebih menarik buat pengunjung.

Pengalaman tidak terhenti di situ apabila tetamu turut diberi peluang menyertai sesi pandu uji waktu malam, bagi merasai sendiri karakter pemanduan “go-kart feeling” yang menjadi keistimewaan MINI.

Ketua Operasi Auto Bavaria, Wong Loke Win, berkata acara ini dirangka sebagai platform gaya hidup menerusi komuniti eksklusif Vibrant Society, yang menghubungkan pelanggan di luar pengalaman pemilikan kenderaan semata-mata.

MINI Paul Smith Edition merupakan model elektrik sepenuhnya berasaskan MINI Cooper SE dan dihasilkan dalam jumlah terhad, menandakan kesinambungan kolaborasi antara MINI dan Paul Smith dalam era mobiliti elektrik.

Dari segi harga, model ini ditawarkan pada RM222,222 (atas jalan tanpa insurans), atau RM228,522 bersama pakej MINI Service and Repair Inclusive yang merangkumi jaminan lanjutan serta servis selama empat tahun.

Pelan pembiayaan Easy Drive oleh BMW Group Financial Services Malaysia pula menawarkan ansuran bulanan bermula RM2,367, berdasarkan pinjaman 75% untuk tempoh lima tahun.

Google ads
Back to top button