Motosikal

6 PERKARA ANDA PERLU TAHU TENTANG LITAR SACHSENRING, JERMAN

Selepas beraksi di litar Motul TT Assen, Belanda minggu lalu, semua pasukan MotoGP akan meneruskan saingan mereka di Litar Sachsenring, Jerman pada hujung minggu ini. 

Terletak berhampiran wilayah Chemnitz dan menjadi hos pusingan kesembilan bagi musim MotoGP 2019, ia merupakan saingan terakhir sebelum bermulanya cuti musim panas. 

Trek itu telah dibina semula pada tahun 2018 dan telah menganjurkan perlumbaan MotoGP selama 22 tahun berturut-turut. 

Berikut adalah 6 fakta menarik mengenai Litar Sachsenring, Jerman. 

  • Dengan jarak sejauh 3.7km, Sachsenring ialah litar paling pendek dalam kalender MotoGP. Pada masa yang sama, ia mempunyai jumlah pusingan paling banyak untuk disempurnakan iaitu 30. 
  • Hanya 0.307 saat yang membezakan di antara empat penunggang terbaik (Rossi, Melandri, Hayden dan Pedrosa) ketika tiba di garis penamat di German GP pada tahun 2006. Ini menjadi jarak paling pendek pernah direkodkan di antara keempat-empat pelumba tersebut dalam sejarah MotoGP. 
  • Selekoh 11 yang juga dikenali sebagai Wasserfall (air terjun) ialah selekoh yang paling ikonik dan sukar. Selekoh yang bersifat off-camber itu membolehkan penunggang memasukinya pada kelajuan lebih 200km/j walapun mempunyai permukaan yang curam (dalam jarak 250 meter, penunggang berdepan dengan penurunan sebanyak 21 meter, sama seperti tujuh tingkat bangunan). Ia juga merupakan selekoh kanan yang pertama selepasa tujuh selekoh ke kiri berturut-turut. Memandangkan suhu bahagian kanan tayar menurun, pelumba kerap jatuh di sana. 
  • Dalam setiap pusingan, 24 peratus brek akan digunakan. Titik membrek paling tinggi adalah di penghujung   laluan lurus mula/tamat perlumbaan. Di sana, penunggang boleh mencatat kelajuan sehingga 290km/j dan brek selama lima saat yang merangkumi jarak sejauh 260 meter.  
  • Marc Marquez merupakan pelumba yang paling banyak menjadi juara di litar ini dengan mencatat sembilan kemenangan. Diikuti oleh Valentino Rossi dan Dani Pedrosa dengan enam kejuaraan. 
  • Menerusi kejayaan Marquez, Repsol Honda menjadi pasukan yang paling berjaya di Litar Sachsenring dengan 40 kejuaraan. Angka itu jauh meninggalkan pasukan Aprilia yang hanya mampu mencatat 18 kemenangan.   

Jangan lupa tengok aksi mereka hujung minggu ini! Hafizh Syahrin pun katanya akan terima swingarm untuk jentera KTM yang ditunggangnya. Harap dapatlah keputusan positif. 

Google ads
Back to top button