Buletin

KENDERAAN TERBANG PAL-V LIBERTY DAPAT LAMPU HIJAU GUNA DI JALAN RAYA. HARGA BERMULA RM1.6 JUTA

PAL-V Liberty telah mendapat kelulusan untuk kegunaan jalan raya sekali gus membolehkan ia digunakan secara sah di Eropah.

Selepas melalui pelbagai ujian termasuk pemanduan di litar Oval High Speed, brek, pengeluaran emisi serta pencemaran bunyi, ia akhirnya sudah bersedia menjadi sebahagian daripada kenderaan-kenderaan di jalan raya awam.

Jentera ini menandakan satu pencapaian baharu dalam industri kenderaan terbang.

Sejak tahun 2015, rekaan PAL-V Liberty menjalani ujian sijil penerbangan dengan Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) dan dijangka siap menjelang tahun 2022.

Sebelum ujian penerbangan 150 jam dapat dilakukan, terdapat lebih 1,200 laporan ujian perlu dilengkapkan terlebih dahulu dan barulah ia boleh ditawarkan kepada para pelanggan.

Begitupun, selama beberapa bulan ini, PAL-V Liberty akan menjalani ujian ketahanan di jalan raya awam sepanjang Eropah.

Projek kereta terbang PAL-V Liberty diusahakan oleh PAL-V, sebuah syarikat dari Raamsdonksveer, Belanda.

Ketua Pegawai Teknikal PAL-V, Mike Stekelenburg, berkata  ia sangat mencabar untuk membolehkan ‘pesawat lipat’ lulus semua ujian jalan raya.

“Paling mencabar ialah untuk membolehkan ia lulus kedua-dua ujian jalan raya dan penerbangan.”katanya.

Sementara itu, pemandu ujian PAL-V Liberty, Hans Joore berkata mendengar kenderaan ini menjadi realiti sangat mengujakan malah dapat memandunya memberi kepuasan.

“Ia sangat lancar dan stereng responsif terhadap pengendalian pemanduan kenderaan ini. Dengan berat mencecah 660 kg, ia dapat memecut dengan baik sekali.

“Secara keseluruhan, ia umpama memandu sebuah jentera sport,” ujarnya.

Menurut PAL-V, tempahan amat menggalakkan dan di luar jangkaan syarikat walaupun Liberty Sport Edition asas dijual pada harga bermula AS$399.000 (RM 1.6 juta).

Sebanyak 80 peratus tempahan dibuat oleh mereka yang baharu dalam dunia penerbangan.

Berikutan itu, kebanyakkan daripada mereka sudah menjalani latihan di Akademi PAL-V FlyDrive. – carscoops.

Google ads
Back to top button