Buletin

VOLKSWAGEN BAKAL BERHENTIKAN 30,000 PEKERJA DI EROPAH, R&D TERJEJAS TERUK

Volkswagen kini sedang merancang untuk mengurangkan jumlah pekerja sehingga 30,000 di Eropah. Walaupun jumlah ini mengejutkan, laporan tahunan Volkswagen 2023 mendedahkan bahawa syarikat tersebut mempunyai seramai 298,687 pekerja di Jerman sahaja.

Walaupun pihak Volkswagen menafikan angka 30,000 itu, jurucakap syarikat mengesahkan bahawa pengurangan kos di lokasi Jerman adalah sesuatu yang perlu.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi komen lanjut mengenai jumlah pekerjaan yang mungkin terjejas, sambil menambah bahawa perbincangan lanjut akan diadakan pada masa terdekat.

Laporan dari Manager Magazin juga menunjukkan jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Volkswagen mungkin akan menerima impak besar.

Anggaran menunjukkan bahawa sekitar 4,000 hingga 6,000 pekerja R&D boleh terjejas, daripada jumlah semasa kira-kira 13,000 pekerja.

Selain daripada pengurangan tenaga kerja, syarikat itu juga dilaporkan ingin mengurangkan pelaburan sebanyak €10 bilion (RM50 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada Ogos lalu, Volkswagen memberi amaran tentang situasi mencabar yang mereka hadapi, termasuk persaingan sengit, cabaran politik, serta keadaan ekonomi yang terus lemah.

Ketua VW, Thomas Schäfer, turut menjelaskan bahawa kos tetap telah meningkat, manakala kenderaan elektrik mempunyai margin keuntungan lebih rendah, yang memberi tekanan kepada keuntungan syarikat.

Pada September, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Volkswagen, Oliver Blume, memberi amaran industri automotif di Eropah berada dalam situasi yang “amat serius dan mencabar.”

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa Jerman telah ketinggalan dari segi daya saing dan menyentuh isu kemungkinan penutupan kilang di masa depan.

Google ads
Back to top button