JURUTERA MODENAS BERKAMPUNG TIGA BULAN DI EROPAH, UJI PROTOTAIP SUPERMOPED
Sekitar bulan April lalu, kami telah dimaklumkan bahawa Modenas telah pun memulakan ujian sulung ‘supermoped’ yang ditunggu-tunggu di luar negara.
Ketika itu, kami difahamkan bahawa prototaip berkenaan – yang dibangunkan bersama Kawasaki – sedang menjalani proses ‘fine-tuning’ dengan wakil Jepun turut hadir ke Modenas pada Mac 2023 untuk berkongsi perkembangan terkini.
Terbaru, rakan media Pandulaju, melaporkan bahawa ‘supermoped’ Modenas-Kawasaki itu sedang menjalani ujian di Eropah. Menariknya, laporan tersebut turut mendakwa bahawa sepasukan jurutera Modenas turut berkampung di Eropah sejak tiga bulan lalu bagi membantu dalam pembangunan model tersebut.
Meskipun ujian dilaksanakan di Eropah – faktor utama Eropah menjadi pilihan belum dikenal pasti – namun reka bentuk ‘supermoped’ berkenaan dikatakan dibuat sepenuhnya di Malaysia. Ini secara langsung memastikan rupa bentuk model itu mencapai standard cita rasa disini.
Dalam pada itu, kami difahamkan status sesaran enjin yang akan digunakan masih belum diketahui. Namun, laporan tersebut mendakwa kapasiti enjin adalah 150cc ke atas dan akan mencapai standard Euro 5 semasa.