Artikel Pilihan

KERETA LOWERED? LEBIH BANYAK KEBURUKAN BERBANDING KEBAIKAN

Salah satu perkara yang disukai oleh pemilik kenderaan ialah merendahkan kenderaan mereka atau dalam bahasa lain lowered. Kaedah ini membabitkan merendahkan sistem suspensi bagi menjadikan kenderaan mereka lebih rendah berbanding dalam keadaan standard yang dikeluarkan oleh kilang

Selain menjadikan kenderaan nampak lebih ranggi dan agresif, merendahkan kenderaan juga menjadikan pengendalian kenderaan bertambah baik. Namun disebalik semua ini, terdapat beberapa keburukan yang perlu diketahui oleh pemilik kenderaan sebelum mula merendahkan kenderaan mereka. Antaranya ialah:

1. Kereta tidak lagi menjadi selesa – apabila anda merendahkan kenderaan anda, ia telah mengubah ride height yang seterusnya mengganggu keselesaan kenderaan apabila melalui jalan yang tidak rata. Tugas sistem suspensi dan penyerap hentak ialah memastikan cengkaman tayar yang maksimum dengan permukaan jalan dan menyerap jalan yang tidak rata ketika memandu

Masalah mula timbul jika anda merendahkan kenderaan, kerana penyerap hentak perlu menyerap semua permukaan jalan dengan suspension travel yang semakin pendek. Jadi jika sebelum ini sistem suspensi hanya bergerak sekali sahaja, mungkin ia perlu bergerak 2 3 kali untuk menyerap permukaan jalan tidak rata.

2. Bottoming Out – menerangkan situasi dimana sistem suspensi terpenyek dalam keadaan maksimum sepanjang masa disebabkan nilai suspension travel semakin kurang. Dalam keadaan ini, ia akan memaksa sistem suspensi bekerja keras sepanjang masa

3. Komponen mekanikal cepat rosak – akibat selalu mengalami bottom out, maka penyerap hentak, suspension linkage, pelapik getah pada suspension arm, absorber link dan kemungkinan suspension tower akan mengalami kerosakan yang cepat. Malah ada kemungkinan stering rack juga akan cepat rosak disebabkan tidak berada selari dengan tayar sepanjang masa.

4. Tayar Cepat haus – disebabkan faktor no 2 dan 3, maka tayar juga kemungkinan akan lagi cepat haus berbanding dengan biasa. Apatah lagi jika dalam keadaan lowered, sudut camber berada dalam keadaan negatif disebabkan rekaan suspension arm. Maka bahagian dalam tayar akan cepat haus.

5. Tayar tersagat – keadaan ini akan diburukkan lagi jika tayar mulai tersangkut dan tersagat dengan komponen badan kereta yang lain seperti wheel arch. Kalau anda bernasib baik, mungkin hanya cesi anda sahaja yang tersagat dengan permukaan jalan yang berlopak dan berlubang-lubang

6. Masalah jaminan – mesti akan wujud masalah tambahan jika anda merendahkan kenderaan anda. Jika anda cuba mendapatkan jaminan alat ganti daripada pusat servis, tuntutan anda akan ditolak meskipun anda telah menukar semua komponen kepada komponen asal. Pomen pusat servis bukannya baru sehari bekerja. Jadi pastikan anda berpoket tebal untuk memulakan sesi merendahkan kereta..

7. Jek standard dah tak muat – poket yang tebal membolehkan anda turut membeli peralatan lain yang dikhaskan untuk kereta lowered, sebagai contoh jek kenderaan biasa. Ini kerana jek biasa akan tersangkut jika anda ingin menggunakan pada kereta lowered.

8. Masalah pengendalian – kereta yang terlampau rendah juga akan bermasalah untuk melalui jalan raya persekutuan yang menjadi lumrah adalah tidak rata dan kaya dengan lubang. Melainkan anda menggunakan lebuhraya untuk memandu, memandu di jalan persekutuan adalah satu perkara yang menyeksakan jiwa

9. Dah tak praktikal – disebabkan kurang selesa, anda mula menggunakan kereta anda dan sebaliknya menggunakannya di hujung minggu sahaja sewaktu berjumpa rakan yang sekepala dengan anda. Untuk ke tempat kerja, mungkin motosikal menjadi pilihan utama. Mungkin juga anda perlu menampak pelekat “be patient, i’m lowered”

10. Kereta jadi cepat tua – disebabkan suspensi cepat rosak, besar kemungkinan bahagian dalaman kenderaan akan lebih cepat tua berbanding dengan usia kenderaan. Kereta anda akan menghasilkan bunyi berkeriut dan beberapa komponen yang diikat dengan skru akan mulai longgar dan menghasilkan getaran yang tidak sepatutnya.

Tapi proses merendahkan kenderaan ini adalah pilihan di tangan anda dan juga duit anda sendiri. Tiada siapa yang melarang dan kami cuma mengingatkan sahaja.

Google ads
Back to top button