Buletin

KIA MALAYSIA AKAN EKSPORT CARNIVAL, SORENTO, SPORTAGE DAN NIRO CKD BERMULA TAHUN 2022

Kia kini bukan sahaja mahu fokus kepada pasaran Malaysia, malah rantau Asia Pasifik yang melibatkan 32 buah negara turut diberi perhatian khusus. 

Antara sebab utama ialah angka jualan kenderaan Kia yang kian meningkat saban tahun. Tahun lalu sahaja, jualan mencecah 120,000 unit dengan jangkaan penyerahan sebanyak 160,000 unit pada tahun 2021. Ini merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu. 

Ia dilihat sebagai petanda positif ketika dunia masih berdepan ancaman wabak COVID-19. Harus tahu juga bawa Kia pernah menjadi jenama No. 1 di rantau ASEAN pada tahun 2003 hingga 2006. 

“Walaupun kami mencatat kejayaan di rantau ini, kami sentiasa mahu lebih lagi. Sebab itulah Kia Malaysia ditubuhkan bersama Bermaz Auto pada April lalu. Buat pertama kalinya, Kia melabur ke dalam Kia Malaysia secara langsung untuk menghasilkan model-model CKD bagi pasaran tempatan dan eksport.

“Kia Malaysia mensasarkan untuk membina 30,000 unit kenderaan setahun menjelang tahun 2026. Kenderaan itu akan dijual ke negara-negara jiran dan memenuhi permintaan domestik. Bagi mencapat sasaran tersebut, kami akan memperkenalkan model-model baharu yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini. 

“Pendekatan strategik ini akan membawa kecekapan global Kia ke Malaysia. Kami sudah melakukannya sejak dahulu lagi di peringkat global. Kami tahu bagaimana untuk melakukannya dan akan laksanakan perkara sama di negara ini,” kata Pengarah Koordinasi Jualan Kia Asia Pasifik, Joey Hong. 

Pelan CKD berkenaan akan dimulakan dengan model MPV Carnival yang dijadual mula dibina pada April 2022.  Ia kemudian diikuti oleh SUV Sorento, Sportage yang merupakan SUV kompak laris Kia di seluruh dunia serta crossover mesra alam Niro. Semua model tersebut akan hadir dengan rangkaian kuasa pembakaran dalaman (ICE), di samping teknologi hibrid, PHEV dan EV. 

Kia Malaysia merancang untuk mengeksport 20,000 unit kenderaan ke negara jiran menjelang tahun 2026. Pada masa yang sama akan menambah rangkaian model menarik kepada pelanggan. 

“Kesimpulannya, dalam tempoh lima tahun kami merancang untuk menghasilkan 100,000 unit kenderaan di Malaysia yang mewakili 25 peratus daripada kadar pertumbuhan purata tahunan Kia,” katanya lagi. 

Kenderaan Kia di Malaysia akan diedarkan oleh Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. yang merupakan anak syrikat Bermaz Auto. 

Google ads
Back to top button