Buletin

KIA CARENS BAHARU AKAN DILANCAR PADA 16 DISEMBER!

Kia Carens dinamakan sempena gabungan dua perkataan yang menarik iaitu Car dan Renaissance. Carens mempunyai sejarah tersendiri di kalangan pengguna di negara kita.

Tentu ramai yang masih ingat tentang Naza Citra, model ini dijenamakan semula dari Kia Carens dan mendapat sambutan baik.

Dari segi sejarah, Carens dijual di negara kita dari generasi pertama hingga ke generasi kedua iaitu Citra II Rondo. Generasi ketiga menyusul pada tahun 2012 dan model ini tidak dijual di pasaran tempatan.

Kia Carens 2017

Dengan sejarah panjang yang bermula dari tahun 1999 kini tiba masanya untuk generasi keempat. Menariknya, Kia bukan lagi bermain dengan imej konsep atau berita demi berita.

Kia terus memaklumkan Carens baharu akan diperkenalkan pada 16 Disember depan di Gurugram, India!

Bersama pengesahan ini, Kia turut berkongsi tiga foto yang memberikan gambaran jelas Carens baharu. Dari gambar tersebut Carens nampak lebih kepada sebuah SUV berbanding MPV dan mempunyai jarak kelegaan bumi tinggi.

Selain foto, Kia turut memaklumkan Carens mempunyai tiga baris tempat duduk dan merupakan legasi generasi terdahulu.

Dari segi reka bentuk, Carens membawa pengaruh SUV kompak Sonet dan kelihatan seperti dipanjangkan dengan rekaan depan dan belakang baharu.

Sebelum ini saudara dekat Kia iaitu Hyundai melancarkan SUV tiga baris tempat duduk Alcazar di India yang diasaskan dari SUV kompak Creta.

Seperti biasa, bahagian depan Carens segak dengan identiti Tiger Face Kia dan nyalaan lampu LED yang ringkas tapi garang.

Carens baharu ini membawa falsafah reka bentuk baharu Kia iaitu Opposites United dan pengenalan pertama seumpamanya di India.

Falsafah Opposites United dibuat berdasarkan lima perkara iaitu Bold for nature, Joy for reason, Power to progress, Technology for life dan Tension for serenity. Rekabentuk Carens mengikut tema Bold for Nature. 

Pada bahagian dalam, Carens nampak ringkas dan bersahaja. Di tengah papan pemuka ditempatkan paparan Audio Video Navigation Telematics (AVNT) yang berukuran 10.25 inci.

Berkenaan enjin pula tiada maklumat diberikan dan sekadar makluman, Hyundai Alcazar ditawarkan dengan nadi 2.0 liter dan 1.5 liter diesel turbo.

BACA: KIA FORTE GT 2022, 1.6L TURBO 200HP 6 KELAJUAN MANUAL!

BACA: KIA PROCEED GT – WAGON UNTUK PAPA YANG JIWANYA KELAJUAN

BACA: MODEL KIA MANA PALING LAKU PADA 2020? SPORTAGE!

Google ads
Back to top button