
KIA EV6 GT PENGGANTI MODEL STINGER – KARIM HABIB
Kia Stinger, antara model sedan buatan Kia yang pendek umurnya, di mana ia bakal ditamatkan produksi pada tahun hadapan.
Ia mempunyai konsep yang sangat menarik, namun hadir pada masa yang salah, dan sambutan yang kurang memberangsangkan turut menyumbang kepada jangka hayat yang agak singkat dalam dunia ini.
Lebih memburukkan keadaan adalah krisis kekurangan bekalan cip di peringkat global menyebabkan jualan sedan pacuan roda belakang Kia ini menjunam teruk kepada 147 unit sahaja untuk tempoh Januari-Jun 2021.
Laman web Autocar bertanyakan kepada ketua unit rekaan Karim Habib berkenaan kehadiran generasi kedua Kia Stinger, dan jawapan beliau ia tidak akan berlaku.
“Semangat Stinger akan terus kekal, dan saya suka untuk berfikir bahawa Kia EV6 mempunyai genetik sebuah GT. Kia EV6 GT mempunyai semangat Stinger di dalamnya.
Beliau turut mengakui Kia Stinger merupakan sebuah kereta yang bertransformasi, dan membuka perspektif baru sebagai sebuah Kia yang sporti, dan mempunyai pemanduan yang jitu, meskipun prestasi jualan sedan tersebut tidak begitu memberangsangkan.
Jawapan yang diberikan oleh Karim Habib mengesahkan bahawa Kia EV6 GT merupakan pengganti secara tidak langsung kepada Kia Stinger.
Kia EV6 GT merupakan sebuah EV berprestasi tinggi dengan motor elektrik berkembar yang mampu menjana 577 hp dan daya kilas 740 Nm, membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 260 km/j.
Sumber: Autocar