Buletin

KIA CARNIVAL 2022 MENDARAT DI MALAYSIA. KINI BOLEH DITEMPAH,2.2L TURBO DIESEL,6 WARNA PILIHAN

Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar rasmi KIA di negara ini mengumumkan model terbaharu KIA Carnival 2022 kini boleh ditempah orang ramai.

MPV KIA Carnival generasi keempat itu menawarkan enam pilihan warna iaitu biru (Astra Blue), perak (Silky Silver), hitam (Aurora Black Pearl), putih (Snow White Pearl), merah (Flare Red) dan Panthera Metal.

Bagaimanapun, Dinamikjaya Motors masih belum mendedahkan harga jualan bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan itu.

KIA Carnival terbaharu itu yang dibangunkan berdasarkan platform generasi ketiga N3 menampilkan rekaan luaran dan dalaman yang lebih menarik berbanding model terdahulu. 

Rekaan gril tiger nose yang lebih lebar dipadankan sepasang lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED nipis.

Gayaan hadapan hadir dengan bampar yang berlekuk-lekuk dan corong pengambilan udara bersama kemasan krom. 

Bahagian belakang dilengkapi bar lampu yang memanjang dan skid-plate sekali gus menyerlah sisi rekaan bagaikan sebuah SUV.

Ruang dalaman MPV terbaharu itu mendapat sentuhan premium dan moden bagi memberi keselesaan kepada pemandu serta penumpang.

Ia didatangkan papan pemuka baharu merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci yang digandingkan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar telefon pintar, port USB serta sambungan Bluetooth.

Ciri-ciri inovatif menarik MPV 11 tempat duduk itu termasuk teknologi pintu Smart Power Sliding dan Smart Power Liftgate.

Carnival terbaharu itu mendapat khidmat enjin 2.2L Turbo Diesel dipadankan transmisi automatik lapan kelajuan.

Ia mampu menjana kuasa mencecanh 199 hp @ 3,800 RPM dan tork 440 Nm.

Dari segi keselamatan, MPV itu memiliki 7 beg udara standard, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Brek Pelbagai Perlanggaran (MCB) dan kawalan bantuan bukit (HAC).

Selain itu, kenderaan terbaharu itu turut dilengkapi  Amaran Perlanggaran Titik Buta (BCW) dan Bantuan Mengelak Perlanggaran Lalu Lintas Rentas Belakang (RCCA).

Carnival 2022 kini dibuka untuk tempahan dengan Waranti Pengeluar selama 5 tahun dan penyelenggaraan percuma selama 5 tahun mengikut piawaiaan pengilang.

Kedua-dua waranti pengeluar dan penyelenggaraan percuma mempunyai tempoh perlindungan selama lima tahun atau had perbatuan 100,000 km.

Google ads
Back to top button