Buletin

KIA RIO FACELIFT 2021. ENJIN MILD-HYBRID, RUANG KABIN LEBIH MEWAH

Kia baru sahaja memperkenalkan model facelift untuk Rio generasi keempat yang hadir dengan pelbagai bentuk penambahbaikan. 

Buat masa sekarang, Kia hanya mendedahkan Rio untuk pasaran Eropah. Berbanding model yang dilancarkan pada tahun 2017, Rio baharu hadir dengan rekaan terkini gril radiator yang lebih nipis dan diapit oleh sepasang lampu LED penuh bersama lampu nyalaan siang (DRL). 

Rekaan baharu itu nyata membuatkannya kelihatan lebih kemas. Ditambah pula dengan dua pilihan warna baharu iaitu perak dan biru, selain rim aloi terkini bersaiz 16 inci. 

Bahagian dalam menyaksikan perubahan yang agak ketara, sekali gus membuatkan ruang itu lebih mewah. Antaranya ialah skrin infohibur bersaiz lapan inci dan kluster instrumen digital 4.2 inci beresolusi lebih tinggi.

Tidak ketinggalan, Bluetooth, Apple CarPlay, Android Auto dan telematik UVO Connect ‘Phase II’ didatangkan sebagai ciri standard. 

Jahitan warna biru pada tempat duduk, papan pemuka dan perehat tangan pula memberikan kontras yang menarik. 

Varian GT-Line didatangkan dengan ruang kabin hitam sepenuhnya. Ruang itu diserlahkan menerusi jahitan berwarna putih pada tempat duduk dan kemasan gentian karbon di papan pemuka.

Perubahan paling besar yang diterima oleh Rio ialah dari segi enjinnya. Rio menjadi model pertama Kia yang dikuasakan oleh setup mild-hybrid.

Sistem MHEV 48V yang dikenali sebagai EcoDynamics+ itu dipadankan bersama enjin turbo pancitan terus 1.0 liter untuk meningkatkan tahap penjimatan bahan api menerusi bantuan kuasa tork elektrik serta brek regeneratif. 

Ini merupakan sistem sama yang diperkenalkan pda model Hyundai i20 baharu. Sama seperti model terdahulu, rangkaian kuasa itu mampu menjana 100hp dan 120hp. Sementara kuasa tork ditingkatkan sebanyak 16 peratus untuk varian 120hp. 

Selain enjin mild-hybrid, Kia juga menawarkan Rio dengan enjin T-GDi berkuasa 100hp dan enjin aspirasi biasa 1.2 liter 84hp. Enjin turbo dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan sebagai standard atau transmisi klac berkembar 7-kelajuan. 

Pemandu boleh memilih tiga mode pemanduan iaitu Eco, Sport dan Normal mengikut kehendak masing-masing. 

Kia juga menambah baik sistem melahu Stop & Go untuk lebih penjimatan. Enjin akan dimatikan apabila brek dan pedal klac ditekan ketika berhenti. Enjin dihidupkan semula sebaik sahaja gear dimasukkan. 

Ciri keselamatan baharu yang ditambah pada Rio termasuklah versi terkini sistem mengelak pelanggaran hadapan. Ia berfungsi mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan. Rio juga dilengkapi sistem amaran tumpuan pemandu, amaran titik buta dan banyak lagi. 

Kia memberitahu Rio 2021 akan mula dijual di Eropah pada suku ketiga tahun ini. 

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button