Artikel Pilihan

KIA FORTE – BERMULANYA ERA KEBANGKITAN KIA MOTORS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas serba sedikit tentang sebuah jentera yang menjadi titik tolak kebangkitan syarikat pengeluar kenderaan dari Korea Selatan ini. Model tersebut adalah Kia Forte.

Sejarah KIA bermula pada tahun 1944. Ketika ini nama syarikat ini bukanlah KIA akan tetapi Kyungsung Precision Industry. Pada awal penubuhannya, syarikat ini menjalankan perniagaan membuat batang besi dan komponen basikal.

Nama syarikat ini ditukar kepada KIA pada tahun 1952. Pada tahun 1957, pihak Honda memberikan mereka lesen untuk membuat motorsikal berkapasiti kecil. Pihak Mazda pula memberi mereka lesen untuk membuat trak pada tahun 1962 dan kereta pada tahun 1974.

Ketika segala-galanya berjalan lancar, pemerintahan Diktator Chun Doo-Hwan memaksa mereka menutup operasi. Bermula pada tahun 1986, KIA membuka kembali bisnes mereka dan bekerjasama dengan Ford.

Disangkakan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Krisis ekonomi Asia pada tahun 1997 membuatkan syarikat ini muflis. Pada tahun berikutnya, pihak KIA bersetuju untuk bergabung dengan Hyundai.

Hyundai memiliki 1/3 saham syarikat Kia dan secara automatiknya menendang Ford keluar dari syarikat. Walaupun pegangan Hyundai adalah besar, pihak KIA juga mempunyai kuasa dengan memiliki 22 anak syarikat Hyundai. Jadi, disini kedua-dua belah pihak memiliki kepentingan di dalam syarikat. Peratusan untuk mereka bercerai tu agak rendah. Ini lah dia Tuan-Tuan sejarah ringkas KIA.

Sekarang kita balik ke pangkal jalan. Topik utama kita adalah berkenaan model Flagship KIA iaitu KIA Forte. KIA Forte yang saya maksudkan ini merupakan generasi pertama yang dikenali dengan kod cesi TD. Kenapa saya kata ini model Flagship KIA ? Hal ini kerana KIA Forte antara model terawal menerima “Design Revolution” daripada pihak KIA.

“Design Revolution” ? Ye tuan-tuan. Sebelum ini, model-model KIA maaf saya katakan saya pun tak tahu nak kata yang rekabentuk mereka bercirikan apa. Nak cakap Korea, macam tiada identiti. Nak cakap Jepun, lahir di Korea. Nak cakap Eropah, jauh sekali.

Jadi pihak KIA sedar akan keadaan ini lalu melantik Kurt Kahl pada tahun 2005 sebagai Senior Designer dan bertugas di KIA Design Centre California Amerika Syarikat.

Kemudian, mereka melantik Tom Kearns pada tahun yang sama sebagai Chief Design Officer. Pada tahun 2006, pihak KIA melantik Peter Schreyer menjadi Chief Design Officer yang baru. Tom Kearns dan Kurt Kahl bekerja dibawah seliaan Peter Schreyer.

Siapa mereka bertiga ni ?

Peter Schreyer

Merupakan seorang pereka automobil dan dahulunya bekerja untuk kumpulan Audi Volkswagen. Antara hasil kerja beliau yang paling diingati adalah Volkswagen Golf MK4, Volkswagen New Beetle 1997 dan Audi TT generasi pertama.

Tom Kearns

Sebelum ini beliau bekerja di bawah General Motors dan memegang jawatan sebagai Chief Design Officer untuk jenama Cadillac. Beliau berkhidmat di syarikat ini selama 17 tahun dan setiap model Cadillac yang dihasilkan sepanjang tempoh ini adalah dibawah tanggungjawab beliau.

Kurt Kahl

Dahulunya bekerja sebagai pereka automobil untuk syarikat Ford Motor Company. Antara hasil kerja beliau adalah Ford GT40 Concept.

Bukan biasa-biasa orang yang KIA ambil ni. Ni baru namanya pelaburan. Pelaburan bukan setakat saham semata-mata. Gajikan orang yang betul pun merupakan suatu pelaburan.

Kenapa saya sebut nama mereka bertiga ni ?

Hal ini kerena mereka bertiga bertanggungjawab melakukan “Design Revolution” dan mereka bertiga ini merupakan pereka utama bagi Kia Forte ini.

Dan hanya setelah mereka masuk barulah rekaan KIA ada identitinya sendiri. Bila tengok je orang akan tahu itu KIA. Bukan Ford mahupun Mazda.

KIA Forte dilancarkan pada tahun 2008 dan mula masuk ke pasaran Malaysia pada tahun 2009. Pihak Naza membawa masuk 3 varian iaitu 1.6 EX, 1.6 SX dan 2.0 SX.

Kita pergi pada bahagian enjin, jentera ini menerima dua jenis enjin yang berkapasiti 1.6L dan 2.0L. Bagi varian 1.6L, enjin yang digunakan adalah dari versi Gamma berkod G4FC. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 124hp pada 6,300rpm dan daya kilas sebanyak 157Nm pada 4,200rpm. Bagi varian 2.0L, enjin yang digunakan adalah dari versi Theta II berkod GK4D. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 153hp pada 6,200rpm dan daya kilas sebanyak 194.2Nm pada 4,200rpm.

Kuasa bagi kedua-dua versi enjin ini kemudiannya disalurkan ke kotak gear 4-kelajuan dengan Shiftronic. Bagi urusan pengendalian, jentera ini menggunakan topang MacPherson pada bahagian hadapan dan Coupled Torsion Beam pada bahagian belakang.

Agak pelik sebenarnya, kerana platform Kia Forte ini turut dikongsi dengan Hyundai Elantra. Namun Hyundai Elantra menerima sistem gantungan Multi Link di belakang. Sistem bantuan brek ABS adalah ciri asas bagi ketiga-tiga varian manakala ESC dan TCS terhad kepada varian 1.6SX dan 2.0SX sahaja.

Sistem stering jentera ini menggunakan sistem hidraulik bagi kedua-dua varian 1.6L dan motor elektrik bagi varian 2.0L. Saiz tayar bagi varian 1.6EX adalah 195/65 R15 manakala bagi varian 1.6SX dan 2.0SX menerima tayar dan rim yang lebih besar iaitu 215/45 R17. Sistem beg udara menjadi ciri keselamatan asas pada ketiga-tiga varian. Pihak KIA tidak berkompromi tentang isu keselamatan.

Dimensi jentera ini adalah seperti berikut :-

  • Panjang – 4,530mm
  • Lebar – 1,775mm
  • Tinggi – 1,460mm
  • Berat – 1,261kg

Ketika dilancarkan, harga yang ditawarkan adalah seperti berikut :-

  • 1.6EX – RM75,800
  • 1.6AX – RM81,800
  • 2.0EX – RM93,800

Setiap model datang dengan jaminan selama 2 tahun atau 50,000km mana satu datang dahulu. Hahaha. Sekarang kalau buat macam ni bersarang lah kereta dalam gudang.

Pada tahun 2011, pihak Naza telah membawa masuk KIA Forte Koup. Model ni jujur saya cakap. Memang cantik. Ia dikuasakan oleh enjin Theta II 2.0L yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 153hp pada 6,200rpm dan daya kilas sebanyak 194Nm pada 4,300rpm.

Apa yang berbeza tentang model ini adalah ia menerima sistem transmisi automatik 6-kelajuan, kurang 2 pintu, rekaan yang baru, 10mm lebih rendah dari sedan serta sistem suspensi dan geometri stering dirombak. Harga yang ditawarkan ketika itu adalah RM115,800. Agak tinggi, tapi coupe kut. Mana ada coupe murah kan ?

Lagi satu, KIA Forte sedan dan Koup ini berada di dalam kelas C-Segment. Ramai berpendapat yang saingannya adalah Toyota Vios dan Honda City. Bukan Tuan-Tuan. Saingan jentera ini adalah Toyota Corolla Altis dan Honda Civic. Dan jentera ini menawarkan harga yang terendah di kelasnya.

Sekarang, cuba lihat disekeliling anda, ada berapa banyak model KIA Forte ini diatas jalan. Masih banyak bukan ? Ketika orang sibuk mempersoalkan ketahanan jentera ini, sedar tak sedar sudah 10 tahun jentera ini berada di atas jalanraya kita. Berkenaan “Resale Value” pula, semua kenderaan akan mengalami susut nilai. Kecuali jika anda mempunyai sebuah Honda Civic EK9 ataupun Toyota Supra.

Berdasarkan semakan di Mudah.my, jentera ini sekarang berharga dalam lingkungan RM20,000-RM35,000 bergantung kepada varian, kondisi dan tahun. Kalau kita ambil kira susut nilai jentera ini, tidak lah seteruk model-model kenderaan buatan eropah.

Jentera ini ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2013 untuk memberi laluan kepada model baharu. Untuk pengetahuan, jentera ini terjual sebanyak 352,226 unit di peringkat global. Banyak Tuan-Tuan. Bukan sikit.

Jadi, inilah dia sedikit cerita tentang KIA Forte. Kalau kita lihat ciri cirinya, ia tidaklah sehebat model-model pesaingnya. Namun, ia tetap menjadi pilihan orang ramai termasuk rakyat Malaysia.

Bukan itu sahaja, apa yang saya nak sampaikan sebenarnya adalah model ini juga merupakan titik kebangkitan KIA dalam dunia automotif di mana kemuncaknya pada tahun 2016 barisan model KIA dianugerahkan “Most Reliable Cars” di Amerika Syarikat oleh J.D Power & Associates. Dan pada tahun ini, anda sendiri dapat lihat KIA sudah berada dimana.

Sesungguhnya, revolusi industri itu benar !

Google ads
Back to top button