
MITSUBISHI XFORCE HEV DILANCARKAN DI INDONESIA – JARAK GERAK 1,000KM, HARGA MULA RM102K
Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) memperkenalkan Mitsubishi Xforce baharu yang kini tampil dengan varian Hybrid Electric Vehicle (HEV) generasi kedua.
Mengangkat konsep ‘Elevated Urban SUV’, model ini menerima pembaharuan menyeluruh meliputi reka bentuk, keselesaan kabin, teknologi keselamatan serta sistem elektrifikasi yang menjanjikan pengalaman pemanduan lebih lancar dan cekap.
Antara pembaharuan utama ialah pemasangan bumbung panoramik tanpa bingkai yang memberikan suasana kabin lebih luas, terang dan premium.

Ruang dalaman turut dipertingkatkan dengan pelbagai ciri keselesaan seperti tempat duduk belakang yang menawarkan lapan tetapan, sistem pendingin hawa automatik dwi-zon bersama teknologi NanoeX, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pintu belakang berkuasa, lampu ambien serta sistem audio Yamaha Premium bagi varian tertentu.
Mitsubishi turut melakukan talaan semula pada sistem suspensi bagi meningkatkan keselesaan ketika pemanduan harian dan perjalanan jarak jauh, sekali gus memberikan pengalaman lebih stabil serta meyakinkan.
Dari aspek kuasa, Xforce HEV dipadankan dengan enjin 1.6 liter DOHC MIVEC bersama motor elektrik. Motor elektrik itu menghasilkan 116PS dengan tork maksimum 255Nm, manakala enjin petrol menyumbang 107PS dan 134Nm.

Sistem hibrid ini membolehkan motor elektrik mengambil alih tugas sebagai penggerak utama dalam kebanyakan situasi pemanduan seperti ketika memulakan perjalanan, memecut pada kelajuan rendah dan mengharungi kesesakan lalu lintas, sekali gus menawarkan operasi yang lebih senyap serta penggunaan bahan api lebih efisien.
Bagi menyesuaikan pemanduan dengan pelbagai permukaan jalan, Mitsubishi menyediakan tujuh mod pemanduan iaitu;
- Normal
- Wet
- Gravel
- Mud
- Tarmac
- EV Priority
- Charge
Dengan tangki bahan api berkapasiti 42 liter, Mitsubishi mendakwa Xforce HEV mampu mencatat jarak perjalanan melebihi 1,000 kilometer bagi setiap isian penuh, menjadikannya antara SUV hibrid yang menawarkan jarak pemanduan kompetitif dalam kelasnya.

Di pasaran Indonesia, Mitsubishi Xforce HEV ditawarkan pada harga Rp445 juta (anggaran RM102,350).
Sementara itu, varian Xforce Ultimate dijual pada harga Rp399 juta (anggaran RM91,770), manakala Xforce Exceed pula ditawarkan pada Rp388 juta (anggaran RM89,240).








